KEPUTUSAN undian peringkat 16 terakhir UCL di Nyon hari ini. FOTO AFP
KEPUTUSAN undian peringkat 16 terakhir UCL di Nyon hari ini. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara bertahan Manchester City akan menentang FC Copenhagen pada peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara (UCL) dalam undian yang berlangsung hari ini manakala dua bekas naib juara Inter Milan dan Atletico Madrid berdepan sesama sendiri.

Skuad Pep Guardiola yang bakal mempertahankan trofi dimenangi di Istanbul pada Jun tahun lalu dijangka tidak berdepan masalah menentang skuad Denmark itu yang mara daripada peringkat kumpulan selepas menewaskan Manchester United 4-3 di tempat sendiri.

Inter selaku pendahulu Serie A antara pasukan perlu dielakkan selepas menduduki tangga kedua dalam kumpulan membuat perhitungan dengan Atletico yang menyaksikan Diego Simeone, jurulatih kelab Sepanyol itu berdepan bekas kelabnya ketika sebagai pemain pada era 1990-an.

Juara Perancis Paris Saint-Germain yang dua musim berturut-turut tersingkir di peringkat 16 mungkin boleh menarik nafas lega selepas diundi menentang Real Sociedad manakala Barcelona berdepan tugas lebih getir apabila bertemu juara Itali, Napoli.

Arsenal pula diramal tiada masalah untuk mara lebih jauh apabila menentang kelab Portugal, Porto.

Bayern Munich turut menjadi pasukan pilihan ketika menentang Lazio dan juara 14 kali Eropah Real Madrid dijangka mampu mengatasi cabaran RB Leipzig.

Perlawanan lain menyaksikan Dortmund menentang PSV Eindhoven yang dikendalikan bekas pengurus Borussia Peter Bosz dan mara ke peringkat 16 kali pertama dalam tempoh lapan tahun.

Aksi peringkat pertama berlangsung pertengahan Februari dan peringkat kedua pada Mac manakala final Liga Juara-Juara di Wembley, London pada 1 Jun.

Keputusan undian peringkat 16 terakhir UCL:

Arsenal mln FC Porto

Barcelona mln Napoli

Real Sociedad mln Paris St Germain

Atletico Madrid mln Inter Milan

Borussia Dortmund mln PSV Eindhoven

Bayern Munich mln Lazio

Manchester City mln FC Copenhagen

Real Madrid mln RB Leipzig

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 8:10 PM