Penyerang Roma, Tammy Abraham (kiri) melakukan rembatan ke pintu gol Lecce pada aksi Piala Itali. FOTO EPA
Penyerang Roma, Tammy Abraham (kiri) melakukan rembatan ke pintu gol Lecce pada aksi Piala Itali. FOTO EPA
AFP

Milan: Tammy Abraham memastikan Roma ke saingan suku akhir Piala Itali dan akan berdepan Inter Milan selepas meledak gol penting dan mencipta bantu gol dalam kemenangan 3-1 ke atas pasukan divisyen dua, Lecce, pagi ini.

Abraham yang juga pemain kebangsaan England, meletakkan Roma mendahului jaringan pada minit ke-54 menerusi gol menarik dalam aksi di Stadio Olimpico.

Bagaimanapun mereka ketinggalan kepada Lecce di minit ke-14 menerusi tandukan Arturo Calabresi yang bakatnya dicungkil daripada akademi remaja Roma dan anak kepada pelakon, Paolo Calabresi juga salah seorang peminat kelab Roma.

Abraham menjadi watak penting ketika membantu menyamakan jaringan buat Roma menerusi tandukan Marash Kumbulla lima minit sebelum rehat separuh masa.

Tuan rumah memulakan aksi babak kedua dengan lebih meyakinkan dan hampir mendahului apabila rembatan Nicolo Zaniolo sedikit tersasar.

Lapan minit kemudian Abraham meledak gol kedua buat Roma ketika pasukan lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Mario Gargiulo diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua beberapa minit kemudian.

Eldor Shomurodov memastikan kemenangan selesa Roma untuk melangkah ke pusingan berikutnya apabila menerima hantaran Henrikh Mkhitaryan dan pemain kebangsaan Uzbekistan itu berjaya menggelecek Valentin Gendrey seterusnya meledak gol dari jarak dekat.

Aksi suku akhir membabitkan pasukan itu dijadualkan berlangsung pada 9 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:42 AM