PEMAIN Barca meraikan kemenangan ke atas Sociedad. FOTO Reuters
PEMAIN Barca meraikan kemenangan ke atas Sociedad. FOTO Reuters
AFP

Barcelona: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berkata bola sepak adalah 'tidak dapat dijelaskan' selepas gol kemenangan Ronald Araujo pada minit ke-92 membolehkan mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas Real Sociedad.

Selepas mengalami kekalahan mengejut kepada Real Madrid dalam Clasico Sabtu lalu walaupun memperagakan permainan yang lebih baik, pasukan Xavi melakukan penderitaan yang sama ke atas Real Sociedad di San Sebastian.

Barcelona gagal mencipta sebarang peluang jelas sehingga ke hujung perlawanan, sebelum Araujo menanduk masuk hantaran lintang Ilkay Gundogan ketika berbaki beberapa saat.

Kemenangan itu membawa Barcelona di tempat ketiga, dua mata di atas Atletico Madrid, yang tewas kepada Las Palmas, dan satu mata di belakang pasukan tempat kedua, Real Madrid, yang menerima kunjungan Rayo Vallecano awal pagi esok.

Girona mendahului sementara La Liga dengan tiga mata mengatasi Los Blancos selepas mereka bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Osasuna 4-2.

"Rasanya luar biasa," kata Xavi kepada Movistar selepas gol kemenangan lewat Araujo.

"Bola sepak kadang-kadang tidak dapat dijelaskan – minggu lalu kami layak menang dan akhirnya kalah, kini (kami) tidak layak untuk menang, dan akhirnya menang."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 12:53 PM