REAKSI Chavez selepas menjaringkan gol ketika menentang Arab Saudi.
REAKSI Chavez selepas menjaringkan gol ketika menentang Arab Saudi.
Agensi

Doha, Qatar: Sepakan percuma menarik Luis Chavez ketika membantu Mexico menewaskan Arab Saudi adalah yang paling kencang pada saingan peringkat kumpulan Piala Dunia, berdasarkan teknologi bola yang digunakan pada kejohanan di Qatar.

Ledakan Chavez minit ke-52 membolehkan Mexico mendahului 2-0 sebelum Arab Saudi bangkit menjadikan kedudukan 2-1.

Walaupun tidak cukup untuk menyelamatkan Mexico daripada tersingkir di peringkat kumpulan, sepakan percuma Chavez diiktiraf percubaan paling laju ke arah gawang setakat ini.

Bola Al Rihla yang digunakan mempunyai teknologi canggih yang dapat membantu keputusan VAR di Piala Dunia dan turut membuktikan Cristiano Ronaldo tidak menyentuh bola ketika jaringan pertama Portugal menentang Uruguay.

Ia juga dapat mengesan kelajuan bola dan kini Fifa mendedahkan senarai percubaan paling laju yang menerjah gawang pada saingan kumpulan.

Rembatan Chavez menduduki tangga teratas apabila mencatat kelajuan 121.69 km/j manakala percubaan menarik pemain Jepun, Ristu Doan ketika menentang Sepanyol mencecah 120.04 km/j.

Rembatan Niclas Fullkrug untuk gol penyamaan ketika menentang Sepanyol menduduki tangga ketiga manakala penalti Ronaldo ketika menentang Ghana keempat.

Marcus Rashford dengan jaringan menariknya ketika menentang Wales menduduki tangga kelima sementara Lionel Messi tersenarai di tangga kesembilan menerusi jaringan ketika menentang Mexico.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 11:34 AM