PEMAIN Brazil bersorak apabila mara ke final bola sepak lelaki di Tokyo 2020 selepas menewaskan Mexico menerusi penentuan sepakan penalti di separuh akhir, hari ini. FOTO AFP
PEMAIN Brazil bersorak apabila mara ke final bola sepak lelaki di Tokyo 2020 selepas menewaskan Mexico menerusi penentuan sepakan penalti di separuh akhir, hari ini. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Juara bertahan bola sepak lelaki, Brazil mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan Mexico, 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi separuh akhir berakhir tanpa jaringan di Tokyo 2020, hari ini.

Penjaga gol Brazil, Santos menyelamatkan sepakan Eduardo Aguirre ketika penentuan sepakan penalti sebelum Johan Vasquez menyepak bola ke tiang gol bagi percubaan kedua Mexico.

Dani Alves, Gabriel Martinelli, Bruno Guimaraes dan Reinier semuanya menjaringkan gol untuk Brazil, yang akan menentang sama ada Sepanyol atau Jepun pada perlawanan akhir di Yokohama, Sabtu ini.

Mexico yang menang pingat emas di London 2012 menjaringkan 14 gol dalam empat perlawanan kali ini, termasuk enam gol di suku akhir menentang Korea Selatan.

Detik terbaik mereka untuk menjaringkan gol hadir menerusi Luis Romo yang memaksa Santos menunjukkan ketangkasannya manakala rembatan susulan Uriel Antuna dihalang Diego Carlos.

Penyerang Everton, Richarlison yang juga penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan lima gol, nyaris meletakkan Brazil di depan pada hujung perlawanan, tetapi tandukannya terkena palang.

Jepun yang menewaskan New Zealand menerusi penentuan sepakan penalti di suku akhir, muncul kali ketujuh berturut-turut bagi acara bola sepak lelaki di Sukan Olimpik.

Sepanyol menang emas di Barcelona 1992 dan mereka memerlukan jaringan pada babak akhir untuk menyamakan kedudukan ketika menentang Ivory Coast dan menang 5-2 menerusi masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:30 PM