REAKSI Perez selepas menjaringkan gol penyamaan di Stadium Mendizorroza. - FOTO EPA
REAKSI Perez selepas menjaringkan gol penyamaan di Stadium Mendizorroza. - FOTO EPA
Reuters

ATLETICO Madrid hanya mampu seri 1-1 di Alaves selepas rembatan lencong Lucas Perez menafikan hajat skuad pelawat menduduki takhta La Liga Sepanyol, awal pagi tadi.

Pemain gantian Atletico, Alvaro Morata menjaringkan gol ketiganya dalam tiga perlawanan pada minit ke-70 yang menyaksikan skuad Diego Simeone gagal beraksi pada tahap sebenar di Mendizorroza.

Penjaga gol Alaves, Fernando Pacheco menghampakan percubaan penyerang Sepanyol, Morata daripada menambah jaringan selain menyelamatkan rembatan Angel Correa sebelum Perez meledak kencang untuk gol penyamaan tuan rumah ketika permainan berbaki tujuh minit.

Atletico kini di tangga ketiga dengan 20 mata daripada 11 perlawanan, sama mata dengan Granada di tangga kedua yang akan menentang Getafe, awal pagi Jumaat.

Barcelona pula menduduki tangga teratas selepas menewaskan Real Valladolid 5-1 dengan 22 mata.

“Mereka (Alaves) beraksi lebih baik berbanding kami pada babak pertama dan kemudiannya Lucas menjaringkan gol hebat,” kata Simeone.

“Selepas rehat kami lebih baik, kami menang bola kedua, mengasak benteng mereka. Jika kami kekal dengan cara itu dan faham apa berlaku pada babak pertama, pasti positif buat kami.”

Kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang terbaik hinggalah Morata dimasukkan selepas satu jam.

Selepas menjaringkan gol ketika menentang Bayer Leverkusen pada aksi Liga Juara-Juara dan Athletic Bilbao dalam aksi La Liga pada Ahad lalu, Morata meneruskan momentum dengan tenang menyudahkan hantaran Correa.

Penyerang Argentina itu cemerlang dengan ketiadaan pemain dibeli dengan harga rekod, Joao Felix yang tersisih sebulan akibat kecederaan buku lali.

Bagaimanapun, bekas penyerang Arsenal, Perez menembusi gawang buat kali kelima berturut-turut dalam aksi La Liga bagi mengecewakan juara 2014 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 10:01 AM