REAKSI  Ronaldo selepas tamat perlawanan menentang Juventus di Turin. FOTO AFP
REAKSI Ronaldo selepas tamat perlawanan menentang Juventus di Turin. FOTO AFP
AFP

CRISTIANO Ronaldo meledak dua jaringan ketika Juventus menewaskan Parma 2-1 sekali gus melonjak empat mata mengatasi Inter Milan di puncak Serie A, awal pagi tadi.

Inter pula menerima tamparan hebat selepas hanya mampu seri 1-1 dengan pasukan bawahan, Lecce manakala Ante Rebic muncul wira AC Milan yang menewaskan Udinese 3-2 hasil jaringan lewat permainan.

Ronaldo memecah kebuntuan sejurus sebelum rehat dan hampir membantu Aaron Ramsey mencipta jaringan kedua tetapi percubaan pemain Wales itu terkena tiang.

Andreas Cornelius menyamakan kedudukan menerusi tandukan buat Parma yang menduduki tangga ketujuh sepuluh minit selepas babak kedua bermula.

Tetapi kegembiraan pelawat hanya seketika apabila Ronaldo sekali lagi menjaringkan gol kedua dengan rembatan jarak dekat selepas mendapat hantaran Paulo Dybala. Jaringan itu yang ke-11 dalam tujuh perlawanan berturut-turut untuk jumlah keseluruhan 16 jaringan musim ini.

"Amat penting menang malam ini,” kata Ronaldo. “Lazio menang, Inter seri amat penting kami mengambil peluang ini.

"Parma mengasak kami pada babak akhir, kami agak gemuruh tetapi kami berjaya mengekalkan keputusan.”

Juara bertahan lapan kali itu kini empat mata mendahului Inter yang hanya menang dua daripada enam aksi liga terakhir dan kini turut diasak Lazio yang hanya dua mata di belakang tetapi berkelebihan satu perlawanan selepas membelasah Sampdoria 5-1, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 8:11 AM