VELAZQUEZ (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan.
VELAZQUEZ (dua dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan.
AFP

Houston, AS: Pemain tengah Porto Jesus Manuel ‘Tecatito’ Corona menjaringkan gol solo menakjubkan bagi membolehkan Mexico seri 1-1 dengan Venezuela untuk layak ke suku akhir Copa America Centenario sebagai juara kumpulan semalam.

Mexico hampir mencatat kekalahan memalukan di tangan Venezuela yang mendahului seawal minit ke-10 menerusi rembatan kencang pertahanan Jose Manuel Velazquez di Stadium NRG Houston.

Percaturan berisiko pengurus Mexico Juan Carlos Osorio dilihat hampir membawa padah selepas beliau memutuskan untuk merehatkan hampir semua pilihan utamanya dalam perlawanan yang memerlukan hanya keputusan seri untuk berada di puncak Kumpulan C.

Bagaimanapun dengan masa semakin suntuk, pemain gantian Corona berjaya mendapatkan bola 40 ela dari gol sebelum dia menggelecek dengan gaya tersendiri untuk melepasi lima pemain Venezuela sebelum meledak jaringan di luar jangkauan penjaga gol Dani Hernandez.

Gol itu memberikan keputusan seri buat Mexico yang cukup untuk membawa mereka ke tangga teratas Kumpulan C dengan kelebihan gol berbanding Venezuela yang turut mengesahkan kedudukan mereka dalam kelompok lapan terakhir selepas menang mengejut ke atas Uruguay pada perlawanan kedua.

Lebih penting lagi, kedudukan Mexico di tangga teratas bermakna mereka berjaya mengelak pasukan pilihan kejohanan Argentina yang dijangka menduduki tangga teratas Kumpulan D apabila berdepan Bolivia selepas ini.

Osorio kemudiannya mempertahankan keputusannya memilih kesebelasan utama yang belum diuji.

“Penggiliran adalah sebahagian daripada kehidupan apabila anda mempunyai skuad dipenuhi pemain berbakat,” kata Osorio.

“Kami memberi peluang kepada semua pemain kerana percaya mereka semua penting. Kami memilih kumpulan pemain yang bagus untuk menentang Venezuela.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 10:37 AM