DYBALA (kanan) cuba melepasi halangan pemain tengah Lecce, Marco Mancosu ketika perlawanan berlangsung di Turin awal pagi tadi. FOTO AFP
DYBALA (kanan) cuba melepasi halangan pemain tengah Lecce, Marco Mancosu ketika perlawanan berlangsung di Turin awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

JUVENTUS berjaya mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Serie A dengan kelebihan tujuh mata selepas menumpaskan pasukan sedang bergelut Lecce 4-0 di Turin sekali gus meletakkan tekanan buat pencabar mereka Lazio.

Rembatan luar biasa Paulo Dybala dan sepakan penalti Cristiano Ronaldo selepas sejam perlawanan berlangsung sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan di Allianz Arena sebelum ditambah dengan dua gol saat akhir melalui Gonzalo Higuain serta Matthijs de Ligt.

Lecce pula agak bergelut selepas terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Fabio Lucioni dilayangkan kad merah pada minit ke-31.

Pasukan pelawat itu kekal di tangga ketiga dari bawah, berkongsi 25 mata dengan Genoa yang berada di atas mereka dan satu mata di belakang Sampdoria.

Juve memulakan perlawanan dengan pantas melalui percubaan Andrien Rabiot sebelum diselamatkan penjaga gol lawan dan tandukkan deras Ronaldo tersasar, namun Lecce seakan mahu membenarkan pasukan tuan rumah berada dalam keadaan lebih selesa apabila Lucioni diperintah keluar padang.

Pemain berusia 32 tahun itu gagal mengawal bola dengan kemas walaupun tanpa diberi sebarang tekanan dan peluang itu diambil Rodrigo Bentancur sebelum dia dihalang keras oleh Lucioni.

Bagaimanapun, Juve perlu menunggu sehingga minit ke-53 untuk memperoleh gol pembukaan melalui Dybala yang melakukan rembatan cantik dari luar petak penalti.

Ronaldo pula menambah gol kedua melalui sepakan penalti pada minit ke-62 selepas dia dijatuhkan Luca Rossettini.

Ketika Lecce cuba untuk mengawal permainan agar tidak menjadi semakin teruk, dua gol pada saat akhir membuktikan perlawanan berlangsung dengan tidak seimbang.

Higuain, yang hampir meledak jaringan selepas beberapa saat dimasukkan pada minit ke-77, berjaya melakukan rembatan dari dalam petak penalti tujuh minit sebelum perlawanan tamat berpunca daripada hantaran ke belakang Ronaldo.

Pemain antarabangsa Belanda, De Ligt menambah gol keempat tuan rumah dua minit kemudian, selepas menanduk bola hasil hantaran lintang Douglas Costa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 8:24 AM