COLLINA perjelas masa kecederaan yang panjang. FOTO Agensi
COLLINA perjelas masa kecederaan yang panjang. FOTO Agensi
Reuters

Doha: Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Pierluigi Collina, berkata sebab peningkatan masa kecederaan di Piala Dunia adalah kerana pengadil diminta mengiranya dengan lebih tepat.

Bekas pengadil itu menambah bahawa cadangan baharu itu menghasilkan peningkatan yang ketara dalam masa bermain, iaitu hampir satu jam dalam perlawanan yang diadakan setakat ini di kejohanan itu.

"Peminat mahu menonton bola sepak, lebih banyak aksi. Kami diminta melakukan sesuatu mengenainya selama bertahun-tahun.

"Perkara perlawanan yang berlangsung selama kurang daripada 50 minit masa aktif adalah sesuatu yang ditimbulkan sejak dahulu lagi.

"Jadi sejak di Rusia (Piala Dunia 2018), kami meminta pengadil mengira masa kecederaan dengan lebih tepat untuk diberikan pada penghujung setiap separuh masa.

"Permintaan itu diulangi di sini, sebelum Qatar 2022. Perintah berulang untuk menawarkan masa yang lebih aktif dimainkan semasa perlawanan," kata Collina dari Itali dalam temu bual di laman web Fifa.

Aksi antara Perancis-Australia menyaksikan jumlah masa bermain tertinggi (67 minit dan 30 saat).

Jumlah purata masa berhenti dalam perlawanan meningkat kepada 10 minit.

Collina berkata pengadil diberitahu bahawa beberapa insiden tertentu harus dipertimbangkan dengan cara yang tepat, terutamanya jangka masa untuk kecederaan.

Beliau berkata arahannya adalah bahawa banyak kecederaan memerlukan lebih daripada satu minit untuk rawatan dan harus dilihat pada masa kecederaan.

Penggantian, semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan sambutan jaringan adalah faktor lain yang mengakibatkan kehilangan masa bermain dan ia kini sedang dikira semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 3:32 PM