HAMIDIN ketika bertemu Collina di Kongres Fifa ke-73 di Rwanda. FOTO Ihsan FAM
HAMIDIN ketika bertemu Collina di Kongres Fifa ke-73 di Rwanda. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh dikatakan dalam dilema untuk membuat pilihan sama ada menggunakan video bantuan pengadil (VAR) jenis light atau full dalam saingan Liga Malaysia akan datang.

Menerusi perbincangan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabanga (Fifa) Pierluigi Collina penggunaan VAR jenis full menggunakan minimum lapan kamera sekali gus kualiti yang dipamerkan lebih baik.

"Collina menjelaskan ada dua jenis VAR yang boleh menjadi pilihan kita, iaitu Full VAR yang dilengkapi dengan minimum lapan kamera atau VAR Light, kurang dari lapan kamera.

"Meskipun Collina mencadangkan Full VAR namun menjelaskan VAR Light boleh juga digunakan untuk peringkat permulaan ekoran harganya yang lebih murah 50 peratus.

"Namun Collina mengingatkan kualiti pastinya jauh berbeza dengan Full VAR jika memilih untuk menggunakan VAR Light," kata Hamidin sejurus selepas berjumpa dengan legenda pengadil itu selepas tamat kongres.

Sebelum itu, Hamidin menghadiri Kongres Fifa ke-73 pertamanya sebagai Ahli Majlis Fifa di Kigali, Rwanda.

Berikutan itu, Hamidin menjelaskan bahawa FAM akan membincangkan tindakan susulan yang akan diadakan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Unit Pengadil Fifa mengenai perkara itu.

Mengikut rekod, FAM memaklumkan VAR akan mula diperkenalkan dalam saingan Liga M musim ini, namun tidak secara menyeluruh kerana ia memerlukan latihan dan beberapa siri ujian terhadap teknologi itu.

Selain membincangkan mengenai VAR, Hamidin turut mengadakan pertemuan membabitkan perlawanan antarabangsa Tier 1 Fifa dan pelan menghantar pemain negara berkualiti yang berminat berkelana dengan kelab luar negara.

Kongres Fifa di Kigali semalam turut menyaksikan Gianni Infantino dipilih semula tanpa bertanding sebagai Presiden badan induk bola sepak dunia itu untuk empat tahun lagi.

"Sokongan dan komitmen beliau kepada bola sepak Asia, Asean khususnya amat dihargai dan beliau sememangnya layak untuk terus memimpin FIFA," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 4:27 PM