PAPARAN di skrin gergasi menunjukan keputusan yang disemak melalui pasukan VAR. FOTO Reuters
PAPARAN di skrin gergasi menunjukan keputusan yang disemak melalui pasukan VAR. FOTO Reuters
AFP

MOSCOW: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyatakan kru pengadil bantuan video (VAR) menjalankan semakan ke atas 335 insiden sepanjang aksi peringkat kumpulan sekali gus membantu mencapai 99.3 peratus ketepatan bagi setiap keputusan.

Sistem VAR digunakan buat kali pertama pada pusingan akhir Piala Dunia di Russia.

“335 insiden disemak oleh pasukan VAR. Semua 122 gol yang dijaringkan disemak oleh VAR termasuk banyak insiden yang berlaku di tengah padang,” kata pengerusi jawatankuasa pengadil FIFA, Pierluigi Collina.

Dengan 48 aksi di peringkat kumpulan, statistik menunjukkan purata tujuh insiden berlaku dalam setiap perlawanan di Russia.

“Daripada 335 semakan yang dilakukan, kami melakukan 17 penilaian semula menggunakan VAR. Sebanyak 14 keputusan diubah menerusi penggunaan sistem ini,” kata Collina.

Sebanyak 14 penilaian semula di tengah padang dengan pengadil menilai semula insiden menggunakan monitor di tepi padang sementara tiga keputusan diambil berdasarkan penilaian secara terus daripada VAR.

Daripada semua insiden yang berlaku, 95 peratus daripada keputusan awal yang diambil pengadil adalah tepat meskipun tanpa campur tangan VAR.

Kadar itu meningkat kepada 99.3 peratus dengan bantuan VAR.

“VAR tidak sempurna. Masih ada tafsiran yang salah dan juga kesilapan dilakukan, jadi kami tidak boleh mencapai kesempurnaan meskipun ada VAR.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 12:08 AM