FAIRUZ Jamaludin bercakap pada sidang media mengenai penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM). FOTO Bernama
FAIRUZ Jamaludin bercakap pada sidang media mengenai penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM). FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) perlu menjadi pusat bersepadu bukan hanya untuk membela kebajikan dan melindungi pekerja ekonomi gig, malah berfungsi sebagai mengawal selia kapitalisme digital dalam industri ini.

Penasihat Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Fairuz Jamaludin memohon kerajaan turut memfokuskan kepada mengawal persaingan dalam kalangan penyedia penyedia perkhidmatan bagi melindungi periuk nasi pekerja ekonomi gig tempatan.

"Kita harap supaya suruhanjaya ini jadi tempat 'one stop centre' termasuk menerima aduan pekerja ekonomi gig dan mengambil tindakan kerana sekarang inu merska tiada tempat untuk membuat aduan.

"Paling penting, kita juga mohon suruhanjaya ini fokus kepada kapitalisme digital kerana kita merasakan kerajaan perlu mengawal persaingan harga dalam kalangan operator (penyedia perkhidmatan).

"Contohnya, terbaharu apabila ada pesaing baharu masuk, syarikat besar dari luar negara mengenakan harga rendah dan pesaing dalam negara juga menurunkan harga sehingga menyebabkan pemandu dan penunggang terkesan, terhimpit dan terkesan.

"Persaingan menyebabkan kadar tambang rendah sedangkan mereka sepatutnya tidak bersaing dari harga tetapi dari segi perkhidmatan," katanya dalam sidang media mengenai penubuhan SEGiM di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin serta Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor.

Mengulas lanjut, Fairuz berharap, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kebajikan pekerja gig yang bakal dibentangkan di Parlimen Oktober ini, turut memfokuskan kawal selia mewajibkan pekerja bidang itu mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) demi melindungi mereka.

"Sebenarnya dalam Sistem Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789 Seksyen 11 mewajibkan pemandu e-hailing, penunggang p-hailing dan pemandu bas sekolah untuk mencarum Perkeso, namun isunya tiada yang menguatkuasakan Seksyen 11, Akta 789 ini.

"Mungkin juga pekerja ini tidak sedar wajib mencarum di bawah SKSPS, jadi kita harap apabila ada suruhanjaya kelak, perkara diambil perhatian, diberi keutamaan dan dikuatkuasakan supaya mereka dilindungi semasa keluar bekerja," katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh bagi mengumpul dan mendapatkan maklum balas daripada penggiat industri.

"Kita akan buat libat urus kepada semua pemegang taruh yang kita takrifkan dalam ekonomi gig contohnya pekerja p-hailing dan e-hailing, pemandu pelancong termasuk stringer (pengamal media sambilan) juga akan dimasukkan dalam ekonomi gig kerana kita tidsk tahu bagaimana bentuk ekonomi dan pekerjaan pada masa depan.

"Paling penting kita hendak pastikan mereka ada jaringan keselamatan dan kebajikansama seperti pekerja lain, malah operator pula kita hendak kaji termasuk lesen, cukai dan sebagainya kerana sebahagiannya beroperasi di luar negara jadi kita hendak buat secara khusus.

"Jadi, kita mahu suruhanjaya ini jadi pusat sehenti untuk penguatkuasaan dalam mengawal selia industri secara kompehensif seperti badan lain," katanya.

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penubuhan SEGiM yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan penubuhan SEGiM secara formal yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan lagi.

Beliau turut mengumumkan, RUU berkaitan pekerja gig akan dibaca buat julung kali di Parlimen pada sidang Oktober hingga Disember ini dalam usaha kerajaan melindungi hak 1.16 juta pekerja gig di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 2:40 PM