Agensi

Paris: Kerjasama sepasukan, tahap kecergasan dan analisis teknikal adalah faktor yang membolehkan pengadil Mark Clattenburg dapat memenuhi impian mengendalikan perlawanan final Euro 2016 awal pagi tadi.

Clattenburg melalui musim yang menarik. Selepas mengendalikan perlawanan final Piala FA dan kemudian Liga Juara-Juara Mei lalu, pengadil berusia 41 tahun itu akan menambah final Euro 2016 membabitkan Portugal dan Perancis ke dalam biodata dirinya.

Pada kejohanan yang memerlukan mutu pengadilan berkualiti, Clattenburg serta rakan setugas lain sering bekerjasama, memperbaiki tahap kecergasan serta menganalisis kedua-dua pasukan yang bertanding.

Soalan (S): Apakah perasaan anda apabila ditugaskan untuk mengadili final Euro 2016?

Mark Clattenburg (MC): Perlawanan akhir ini antara yang terbesar di dunia dan ia pasti memberi pengalaman sangat bermakna kepada saya. Sesuatu yang boleh dibanggakan oleh keluarga serta saya sendiri. Sudah banyak saya korbankan selama ini, tapi pada akhirnya segala-galanya membuahkan hasil apabila dapat mengendalikan final antara Portugal dan Perancis.

S: Berapa pentingkah untuk menganalisis diri sendiri dalam usaha menjadi seorang pengadil yang baik?

MC: Menerusi sesi ini, anda meletakkan sasaran untuk memperbaiki diri anda. Saya mempunyai rakan pengadil seperti Pierluigi Collina, Marc Batta dan Hugh Dallas yang sentiasa memberi sokongan serta tunjuk ajar.

Sebagai seorang pengadil, saya mahu memperbaiki diri sendiri serta memberi contoh yang baik. Saya perlu bekerja keras meningkatkan tahap kecergasan. Pada musim ini, saya banyak menganalisis taktik pasukan serta pemain individu. Jika anda menggabungkan kedua-duanya, ia akan meningkatkan mutu pengadilan anda. Kami menerima sokongan kuat dari pasukan analisis pada kejohanan ini.

S: Bagaimana kelakuan pemain membantu pengadil pada kejohanan ini?

MC: Banyak komen positif di seluruh dunia mengenai mutu pengadilan pada kejohanan ini. Sememangnya masih terdapat ruang untuk penambahbaikan tapi tahap kelakuan pemain sememangnya amat bagus.

Tiada insiden perbezaan pendapat dan pertengkaran dengan pengadil dan ia amat positif. Mungkin sebab Jawatankuasa Pengadil mengambil inisiatif menemui setiap pasukan sebelum berlangsungnya kejohanan dan membincangkan apa yang dimahukan daripada pengadil. Ia menjadikan tugas kami lebih mudah.

S: Berapa pentingkah kerjasama sepasukan hasil kejayaan ini?

MC: Seorang pengadil hanya dapat mengadili perlawanan dengan baik jika mempunyai pasukan yang baik. Saya bertanggungjawab ke atas pasukan saya dan pada masa sama, mengharapkan tugas terbaik daripada mereka.

Kami belajar daripada kesilapan untuk menjadi lebih baik sebagai satu pasukan. Kami berjaya meraih kejayaan kerana semua dapat bekerjasama dengan baik, bukan secara individu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 11:33 AM