Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Abi dah maafkan semua kesalahan Apis. Apis pergi dulu nanti Abi menyusul," demikian luahan Abd Halid Sugiman, 44, di pengebumian anaknya, Hafiz Fauzan, 17, di Tanah Perkuburan Islam, Batu 7, Tongkang Pechah di sini, hari ini.

Abd Halid yang menahan sebak berkata, dia reda dengan ketentuan Allah dan rela hati melepaskan Hafiz Fauzan untuk selama-lamanya.

"Pencarian kami hampir sebulan sudah berakhir. Walaupun jasadnya sudah tiada, tetapi rindu dan kasih terhadapnya tidak pernah hilang.

"Kami tetap merinduinya sepanjang masa. Alhamdulillah, dia pergi dengan baik, jadi anak yang baik untuk kami sekeluarga dan mudah-mudahan arwah ditempatkan dalam kalangan hamba yang soleh," katanya.

Jenazah Hafiz Fauzan selamat disemadikan pada jam 12.15 tengah hari ini.

Sebelum itu, jenazah dibawa ke Surau Al-Muhajirin, Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah dengan solat dan bacaan talkin dipimpin sendiri oleh Abd Halid.

Lebih 500 jemaah hadir termasuk rakan sekolahnya bagi menunaikan solat jenazah serta memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Menurut Abd Halid lagi, pemergian Hafiz Fauzan itu sebagai ketentuan Illahi dan dia bersyukur kerana dipinjamkan anaknya itu walaupun seketika.

"Takdir Allah apa yang dikehendaki-Nya. Apa yang diambi, apa yang diberi pun milik Allah. Pada masa sama, saya berdoa mohon Allah memberikan pahala yang banyak pada guru, rakan dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakannya.

"Saya berharap sesiapapun terbabit dalam usaha untuk mencari Hafiz Fauzan ini, Allah akan mengampunkan kesalahan dosanya dan diberikan segala keberkatan," katanya.

Semalam, penantian Abd Halid sekeluarga selama hampir 10 hari terjawab apabila ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan sepadan dengan kedua-dua ibu bapanya.

Hafiz Fauzan, adalah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR), dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selepas keluar menonton bola sepak.

Selepas hampir sebulan kehilangannya, rangka manusia berserta sebuah motosikal ditemui orang awam di celah pokok dalam kebun durian di Jalan Yong Peng-Muar, bersebelahan Kompleks Penghulu Mukim Linau, pagi 24 Jun lalu.

Penemuan itu merungkai kehilangan anak ketiga daripada tujuh beradik selepas nombor pendaftaran sama dengan motosikal digunakan Hafiz Fauzan seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 2:46 PM