MARCINIAK (kanan) memperkatakan sesuatu dengan Lionel Messi ketika mengendalikan perlawanan 16 terakhir antara Argentina dengan Australia. FOTO EPA
MARCINIAK (kanan) memperkatakan sesuatu dengan Lionel Messi ketika mengendalikan perlawanan 16 terakhir antara Argentina dengan Australia. FOTO EPA
Agensi

Doha: Pengadil dari Poland, Szymon Marciniak akan mengadili perlawanan final Piala Dunia 2022 antara Perancis dan Argentina, Ahad ini.

Marciniak, yang akan dibantu oleh Paweł Sokolnicki dan Tomasz Listkiewicz, akan mencipta sejarah muncul pengadil Poland pertama yang mengendalikan perlawanan final Piala Dunia.

Pelantikan Marciniak akan memberi tamparan kepada pengadil pilihan, Anthony Taylor, yang masih di Qatar dan Michael Oliver yang sudah dihantar pulang oleh Fifa.

Menurut Sports Center, Pengerusi Pengadil Fifa, Pierluigi Collina memilih Marciniak untuk mengadili perlawanan final Piala Dunia di Stadium Lusail, Ahad ini.

Collina kagum dengan prestasi pengadil berusia 41 tahun itu semasa kejohanan di Qatar dan merasakan dia adalah individu terbaik untuk menggalas tugas di pentas final.

Marciniak bertanggungjawab mengendalikan perlawanan yang menyaksikan kemenangan 2-1 Perancis ke atas Denmark pada peringkat kumpulan dan kemenangan 2-1 Argentina ke atas Australia di pusingan 16 Terakhir.

Marciniak sudah mengendalikan perlawanan tumpuan di seluruh dunia termasuk ketika kekalahan 0-1 Liverpool kepada kepada Atletico Madrid pada 2020.

Bagaimanapun, penyokong Liverpool kurang senang dengan caranya mengendalikan perlawanan itu dan menggunakan media sosial selepas perlawanan untuk mengkritiknya.

Mereka kecewa terhadap beberapa keputusan dibuat oleh Marciniak termasuk melayangkan kad kuning kepada Joe Gomez kerana mengasari penyerang Atletico, Alvaro Morata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 9:07 AM