Ikmalrudin Ishak (tiga dari kanan) meninjau petugas SPR melakukan pemeriksaan bahan dan peralatan serta persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Ikmalrudin Ishak (tiga dari kanan) meninjau petugas SPR melakukan pemeriksaan bahan dan peralatan serta persiapan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang petisyen berhubung kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap daripada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata kesalahan-kesalahan yang dilaporkan hanya melibatkan perkara kecil sahaja tanpa menimbulkan sebarang isu yang serius.

"Terima kasih kepada pengundi penyokong parti yang mematuhi peraturan perjalanan pilihan raya kali ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Serbaguna Jawi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ikmalrudin berkata, seramai 552 orang petugas SPR akan bertugas bagi memastikan proses kelancaran PRK Sungai Bakap esok.

"Sembilan pusat mengundi dengan 65 tempat mengundi (saluran) akan dibuka bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang bagi kemudahan 39,151 pengundi berdaftar.

"Kita menasihati pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab mengikut masa yang ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan dan cadangan masa mengundi boleh disemak di laman web mySPRsemak," katanya.

Dalam pada itu, Ikmalrudin berkata, ketua tempat mengundi serta petugas keselamatan sudah diberikan taklimat berkaitan bagi memastikan kelancaran proses hari pengundian.

"Setiap semakan yang dilakukan (hari ini) adalah bagi memastikan kesemua kelengkapan mengundi mencukupi, termasuk peralatan seperti peti undi, dakwat, kertas undi dan juga peralatan-peralatan membabitkan persiapan logistik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 2:34 PM