PRESIDEN Fifa, Gianni Infantino. -FOTO AFP
PRESIDEN Fifa, Gianni Infantino. -FOTO AFP
AFP

Doha: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkata bahawa lima pemain gantian akan diperkenalkan secara kekal dalam semua perlawanan peringkat tertinggi dan pengesan ofsaid separa automatik semakin hampir akan digunakan pada Piala Dunia tahun ini.

Presiden Fifa, Gianni Infantino berkata, perubahan kepada pemain simpanan itu, pertama kali dibenarkan pada 2020 kesan daripada penularan wabak Covid-19 dan ia mendapat 'sokongan padu daripada seluruh komuniti bola sepak."

Beliau berkata, selepas mesyuarat tahunan lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) bahawa pakar akan memutuskan sama ada teknologi pengesan ofsaid akan digunakan untuk Piala Dunia yang bermula pada 21 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Fifa, Pierluigi Collina berkata beliau 'yakin' sistem itu akan diperkenalkan tepat pada masanya untuk kejohanan yang membabitkan penyertaan daripada 32 negara itu.

Ujian sudah dijalankan pada Piala Arab FIFA tahun lalu dan Piala Dunia Kelab tahun ini.

Sistem berkenaan memantau mata data pemain yang kemudiannya mencipta model boleh dilihat di tepi padang oleh pengadil.

"Setakat ini kami berpuas hati dan pakar kami akan melihat perkara berkenaan sebelum membuat keputusan sama ada ia akan digunakan pada Piala Dunia," kata Infantino.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 8:57 AM