PEMAIN Terengganu cuba membantah keputusan pengadil selepas memberi penalti kepada JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu. FOTO arkib NSTP
PEMAIN Terengganu cuba membantah keputusan pengadil selepas memberi penalti kepada JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lalu. FOTO arkib NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Teka-teki 'kehilangan' pengadil bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada final Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC tempoh hari terjawab apabila mereka tidak dapat bertugas atas beberapa faktor dan kekangan.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman menerusi kenyataan media memaklumkan pengadil seperti Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria tidak dapat bertugas pada perlawanan penting itu kerana mereka berasal dari Terengganu.

Beliau berkata, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pula pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru saja bertugas di Melaka mempunyai kaitan dengan negeri Selatan Tanah Air itu sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor berstatus berkecuali.

"Baki dua lagi Pengadil Fifa, Suhaizi Shukri dari Kedah terbabit dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi.

"Berdasarkan situasi itu, pemilihan S Logeswaran dari Selangor dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM. Keputusan itu, selepas mengambil kira faktor beliau menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain adalah pengadil yang berkecuali.

"Logeswaran juga antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seolah-olah memilih pengadil tangkap muat pada final Piala Malaysia apabila nama Logeswaran tiada dalam senarai Fifa.

Menerusi senarai pengadil antarabangsa Fifa 2023 menyaksikan nama pengadil terbabit tiada sekali gus kredibilitinya untuk mengadili perlawanan besar seperti final Piala Malaysia dipersoalkan.

Sementara itu, Azman berkata, berhubung beberapa keputusan pada aksi final itu yang dipertikaikan, hasil daripada siasatan FAM mendapati ia adalah tepat dan tidak meragukan.

"Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama JDT pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain Harimau Selatan dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.

"Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain JDT terhadap pemain Terengganu FC jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1.

"Keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada Pembantu Pengadil Tambahan 1 dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain Terengganu FC," katanya.

Selain itu, beliau berkata, FAM tidak menerima maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Fifa Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu.

NOOR Azman berkata pemilihan Logeswaran dari Selangor dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM. FOTO NSTP
NOOR Azman berkata pemilihan Logeswaran dari Selangor dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 1:05 PM