ARTETA terus berkhidmat bersama Arsenal sehingga 2025. FOTO AFP
ARTETA terus berkhidmat bersama Arsenal sehingga 2025. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta mahu membawa Arsenal ke 'ke tahap seterusnya' selepas menandatangani kontrak baharu selama tiga tahun yang akan mengekalkannya di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sehingga 2025.

Pengendali berusia 40 tahun itu, yang mengambil alih tugas pada 2019 berikutan pemecatan Unai Emery, semakin hampir membawa Arsenal kembali ke Liga Juara-Juara selepas lima tahun tidak beraksi.

The Gunners berada di tempat keempat di EPL sekarang ini, dua mata di hadapan pesaing utara London, Tottenham dengan hanya berbaki empat perlawanan.

"Kami mahu membawa kelab ini ke peringkat seterusnya dan bersaing dengan pasukan terbaik yang lain. Untuk melakukan itu, kami perlu bermain dalam Liga Juara-Juara.

"Kami harus mengembangkan pasukan, menambah baik pemain kami, menambah baik semua bahagian, menjana lebih banyak hubungan dengan peminat kami, memperbaiki suasana di Emirates, dapat merekrut bakat terbaik dan pemain terbaik untuk kelab ini. memacu projek ini ke tahap itu, " kata Arteta dalam satu kenyataan.

Arteta, yang memenangi Piala FA pada tahun pertamanya berkhidmat di Emirates, mengemudi Arsenal kembali ke kelompok teratas selepas permulaan terburuk mereka dalam satu musim selama beberapa dekad.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berdepan situasi hampir dipecat pada September tetapi diberi ganjaran kerana berjaya meningkatkan prestasinya bersama pemain muda serta memutuskan hubungan dengan bekas kapten kelab Pierre-Emerick Aubameyang, yang berpindah ke Barcelona pada Januari.

Arsenal telah menikmati kemenangan mengagumkan ke atas Manchester United dan Chelsea baru-baru ini untuk menguasai tempat keempat tetapi berdepan aksi sejiran yang berpotensi menentukan kedudukan mereka apabila menentang Spurs minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 11:02 AM