ARTETA memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan Arsenal.
ARTETA memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan Arsenal.
AFP

London: Mikel Arteta menggesa pendahulu Arsenal meneruskan momentum dan seterusnya menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) kali pertama sejak 2004 apabila saingan kembali selepas rehat Piala Dunia.

Gunners dalam prestasi terbaik dengan 12 kemenangan daripada 14 perlawanan apabila liga berehat untuk saingan Piala Dunia di Qatar.

Peminat, pengkritik dan pengulas sukan mempersoalkan sama ada rehat panjang itu boleh menjejaskan misi Arsenal yang kini tanpa Gabriel Jesus selepas dihantar pulang akibat tercedera ketika Brazil tewas mengejut kepada Cameroon di Doha.

Namun Arteta tetap yakin menjelang pertembungan dengan West Ham dalam aksi Liga Perdana yang kembali bersambung di Emirates, awal pagi Selasa ini.

"Saya mahu pemain beraksi dengan cara tertentu dan lebih konsisten bermakna lebih peluang untuk menang," katanya kepada SykSport.

"Terdapat kegembiraan dan kami perlu lebih gembira serta memanfaatkan peluang di depan kami."

Arsenal kini lima mata di hadapan juara bertahan Manchester City.

City muncul pencabar liga terakhir beraksi pada Boxing Day apabila berkunjung ke kelab bergelut, Leeds awal pagi Khamis ini manakala Newcastle yang kali terakhir menjuarai trofi utama tempatan pada 1955 berkunjung ke Leicester malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 2:46 PM