ARTETA berdepan masalah kekurangan pemain akibat kecederaan. FOTO Reuters
ARTETA berdepan masalah kekurangan pemain akibat kecederaan. FOTO Reuters
AFP

London: Mikel Arteta berkata Arsenal bersedia untuk terbabit dalam pasaran perpindahan Januari sekiranya skuad mereka kekal mengalami masalah kekurangan pemain sejak kebelakangan ini.

The Gunners tidak mempunyai lima pemain untuk perlawanan awal pagi esok di laman sendiri menentang West Ham, perlawanan di mana kemenangan untuk Arsenal akan menyaksikan mereka kembali menduduki tempat teratas dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) mengatasi Liverpool.

Thomas Partey, Jurrien Timber, Fabio Vieira dan Takehiro Tomiyasu semuanya masih dibelenggu kecederaan manakala, Kai Havertz digantung ekoran mengutip lima kad kuning setakat musim ini.

Arsenal membelanjakan lebih daripada £200 juta (RM1.1 bilion) merekrut pemain baharu ke Emirates menjelang kempen semasa, termasuk mencatat rekod kelab £105 juta (RM621 juta) untuk menandatangani Declan Rice daripada The Hammers.

Pemain tengah England itu hadir ke Stadium Emirates bersama Havertz dan Timber selepas Arsenal berbelanja besar, apabila terlepas gelaran EPL walaupun berada di kedudukan teratas selama 248 hari musim lalu.

Pengurus Arsenal, Arteta tidak mempunyai kepastian bila kuartetnya yang cedera akan kembali beraksi dan dengan jadual perlawanan perayaan yang padat menguji keseluruhan semua skuad EPL.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu bersedia untuk memperkuat skuad The Gunners pada jendela perpindahan bulan depan.

"Pada masa ini, ia sangat sukar. Kami benar-benar kekurangan pemain," kata Arteta pada sidang media praperlawanan.

"Kami mempunyai kekurangan pemain di mana ia berlaku sejak enam minggu lalu dan diharapkan kami akan mendapatkan semula pemain. Dalam keadaan apa dan bila?

"Itu adalah tanda tanya dan juga kerana kami masih mempunyai beberapa pemain berdepan kecederaan jangka panjang dan pemain tertentu terpaksa mengambil alih beraksi di posisi baharu dan itu menjadi isu."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 1:22 PM