AUBAMEYANG (dua dari kiri) diketepikan pada saat akhir selepas melanggar peraturan disiplin sebelum bermulanya aksi antara Arsenal dan Spurs. FOTO EPA
AUBAMEYANG (dua dari kiri) diketepikan pada saat akhir selepas melanggar peraturan disiplin sebelum bermulanya aksi antara Arsenal dan Spurs. FOTO EPA
AFP

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata beliau tidak mahu lagi bercakap mengenai pelanggaran disiplin Pierre Emerick Aubameyang sehingga memaksa ketua pasukan The Gunners itu diketepikan dalam perlawanan yang menyaksikan mereka mengalahkan Tottenham 2-1.

Aubameyang diletakkan di bangku simpanan sepanjang perlawanan berlangsung selepas pasukan bimbingan Arteta itu mengalahkan musuh sejiran mereka buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun.

Pengendali dari Sepanyol itu tidak mendedahkan pelanggaran yang dilakukan Aubameyang namun laporan menyatakan penyerang itu tiba lambat ketika persiapan praperlawanan.

"Kita mempunyai cara untuk hidup bersama, kita harus menghormati antara satu sama lain. Bagaimanapun, dia adalah seorang yang hebat, dia adalah ketua pasukan dan kita akan terus bergerak ke depan.

"Banyak perkara berlaku dalam kehidupan kita dan siapa saja akan berasa sukar jika ada sekatan. Saya tidak akan memberitahu apa yang berlaku di bilik persalinan," katanya.

Selepas permulaan perlahan musim ini, Aubameyang sudah menjaringkan enam gol dalam tujuh penampilan terakhir dalam membantu Arsenal untuk memburu kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mara ke saingan 16 akhir Liga Europa.

Alexandre Lacazette tampil untuk menggantikan ketiadaan pemain antarabangsa Gabon itu dan menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Dia juga diberi tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti yang juga gol kemenangan mereka di Emirates.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 8:46 AM