PEMAIN  Kelantan United FC, Mohd Faisal Mohd Rosli (kanan) mengasak pemain Kinabalu Jaguar FC,  Muhammad Zaki Sapri  di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Bernama
PEMAIN Kelantan United FC, Mohd Faisal Mohd Rosli (kanan) mengasak pemain Kinabalu Jaguar FC, Muhammad Zaki Sapri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelantan United FC (KUFC) tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua saingan Piala FA apabila mudah menundukkan Kinabalu Jaguar FC 4-0 pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Skuad Kijang Hijau kendalian Syamsul Saad memperoleh jaringan pertama menerusi sepakan percuma menarik Muhammad Haziq Subri pada minit ke-34 yang gagal ditolak keluar penjaga gol, Mohd Sakri Masri.

Lapan minit berselang, skuad KUFC yang beraksi dalam kancah Liga Perdana musim ini berjaya menambah jaringan kedua menerusi Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran lintang Mohd Zulkiffli Zakaria dalam kotak penalti dan Asraff yang tidak dikawal mudah menolak masuk untuk pasukannya mendahului 2-0.

Sepanjang babak pertama, skuad kendalian Mohd Ayyman Shah Johny Abdullah yang beraksi dalam Liga M3 hanya memperoleh dua peluang terbaik, namun gagal menghasilkan gol dengan penguasaan jelas memihak kepada tuan rumah yang menurunkan tiga pemain import.

Bersambung babak kedua, pemain tengah kelahiran Ghana, Amidu Salifu yang pernah beraksi dengan kelab Fiorentina dalam Serie A Itali berjaya menanduk gol ketiga pasukannya pada minit ke-51 berpunca sepakan sudut Njoku Jacob.

Belum sempat Kinabalu Jaguar FC menyusun strategi, penyerang kelahiran Nigeria, Jacob menambah derita pelawat apabila rembatan kencangnya dalam kotak penalti pada minit ke-58 gagal ditampan penjaga gol sekali gus mengukuhkan kedudukan 4-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 10:40 PM