HAIZA terkenang rakan seperjuangan yang sudah meninggal dunia. FOTO Aswadi Alias
HAIZA terkenang rakan seperjuangan yang sudah meninggal dunia. FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri


Rindu yang membalut hati Haiza terhadap sahabat yang sudah meninggalkan dunia ini bagai alunan lagu syahdu yang tak pernah terhenti.

Walaupun jasad mereka sudah tiada, keakraban dan kenangan manis bersama masih menggamit memori, hadir dalam setiap hela nafas dan detik kehidupannya.

Setiap senyuman, gelak tawa dan detik bersama itu kini menjadi nostalgia yang terus menyala dalam sanubarinya, menari-nari di celah bayang waktu yang tak akan pernah kembali.

Itu rasa kerinduan yang dikongsikan penyanyi dangdut yang juga penyampai radio, Haiza ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri berkonsepkan Jom Raya Lagi, baru-baru ini.

"Saya suka untuk jemput kawan-kawan dan jumpa semua orang. Jemputan dalam 200 orang, tapi rasanya lebih yang datang.

"Tapi, rasa sedih sedikit sebab kawan-kawan yang kami selalu berkumpul seperti arwah Kak Ana (Rohana Jalil), arwah Kak Maya (Mya Matahari), arwah Papa (Jaafar Onn), arwah Abang Nassier (Datuk Nassier Wahab), arwah abang Ibnor Riza, semua tak ada. Mereka adalah orang yang selalu berkumpul di sini," katanya.

Menurut Haiza yang popular dengan lagu Dag Dig Dug, dia juga masih dapat menggambarkan dengan jelas tempat duduk setiap daripada mereka.

"Saya masih nampak tempat duduk mereka. Kat mana mereka suka lepak di kawasan ini. Tapi, kita manusia, kena terima apa yang Allah dah tentukan. Perginya mereka, sentiasa kita ingati dalam doa kita," katanya.

Pengalaman yang mereka kongsikan sentiasa tersemat dalam fikirannya.

"Kalau berkumpul ramai-ramai, mereka suka berkongsi banyak perkara berkaitan pengalaman mereka yang mungkin kita tak dapat.

"Kadang-kadang, nasihat mereka ini yang kita ingati. Bahkan, ada lagi artis lama yang tak dapat sertai kerana ada di luar Kuala Lumpur," katanya.

Ditanya mengenai sambutan Aidilfitri walaupun Syawal sudah melabuhkan tirai, Haiza berkata, acara ini lebih kepada mengumpulkan sahabat dan kenalannya.

"Konsepnya, Jom Raya Lagi sebenarnya sebab saya tak sempat nak berkumpul dengan semua orang. Itu yang cari masa juga.

"Sebenarnya nak buat lagi awal, tapi bila jadual dan tempat tak kena, suami pun tak ada masa waktu itu, hari ini 17 Mei (Jumaat lalu) tarikh sesuai.

"Bila kami dah berpindah ke Kajang, jadi di sana kami belum tahu lagi tempatnya. Jadi, kami adakan di kawasan ini juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 6:17 AM