ISMAHEEL (kiri) dihalang oleh pemain Negeri Sembilan FC, Herold Mark Goulon (kanan). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ISMAHEEL (kiri) dihalang oleh pemain Negeri Sembilan FC, Herold Mark Goulon (kanan). FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Negeri Sembilan FC memulakan langkah kanan dalam dalam aksi Piala Malaysia apabila menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United Football Club (KUFC), petang ini.

KUFC bermula garang dengan dua percubaan berbahaya import, Ismaheel Akinade apabila hantaran tengahnya seawal minit ke-5 nyaris menjaring gol pertama KUFC namun mudah dibaca Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang menangkap kemas bola.

Ismaheel sekali lagi cuba membuat hantaran bola ke gawang lawan namun ditarik Tommy Mawat Bada minit ke-19.

Dua minit kemudian, sepakan bebas S Sharvin disia-siakan Skuad Kijang Hijau apabila tandukan Ismaheel dinafikan Sikh Izhan yang menampan keluar bola dengan mudah.

Pelawat akhirnya mendahului perlawanan hasil sepakan sudut Mahali Jasuli yang disempurnakan Sean Selvaraj minit ke-28.

Sepakan Faiz Nasir tersasar tinggi ke tiang gol meranapkan impian tuan rumah untuk menyamakan kedudukan di minit ke-35.

Anak buah Ailton Dos Santos Silva terus buntu gol apabila sepakan Muhammad Asraff Aliffuddin minit akhir perlawanan gagal diterjemah sebagai gol.

Keputusan Negeri Sembilan 1- 0 KUFC kekal hingga tamat wisel penamat menyaksikan skuad Jang membawa bekal satu gol untuk aksi timbal balik 20 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 8:25 PM