JENAZAH Hail dikebumikan berhampiran pusara sahabat seninya Zulkifli di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor.
JENAZAH Hail dikebumikan berhampiran pusara sahabat seninya Zulkifli di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor.
Ridzuan Abdul Rahman

KETIKA memandu ke pejabat semalam, stesen radio mengalunkan lagu Search iaitu Teguh. Ia lagu daripada album kelima mereka iaitu Karisma yang dipasarkan pada 1990.

Sebagai peminat Search, pada saya, album Karisma antara album terbaik mereka. Daripada segi gubahan muzik, sound, lagu, lirik, gitar solo dan imej, Search yang ketika itu dianggotai Amy (penyanyi), Noordin (gitar), Kid (gitar), Nasir (bass) dan Allahyarham Yazit (dram) dilihat selangkah ke hadapan berbanding band rock lain ketika itu.

Jadi, memang sesuailah mereka dilabel band rock nombor satu tanah air ketika itu. Dan, hingga hari ini pengiktirafan itu masih kekal.

Namun apabila melihat kontroversi tidak berkesudahan dalam Search yang sekarang sudah terbahagi dua ini, saya agak sedih.

Adakah Search masih band rock nombor satu? Satu dianggotai oleh Noordin dan Kid, satu lagi diketuai Amy bersama Nasir yang turut disertai dua bekas pemain gitar legenda Search iaitu Hillary Ang dan Man Keedal.

Baru-baru ini, konflik di antara Amy, Nasir dengan Noordin dan Kid tercetus kembali selepas agak lama senyap. Mereka kembali berbalas kenyataan di media sosial dan media arus perdana. Tambah panas, apabila netizen turut menjadi 'nasi tambah' di ruangan komen media sosial.

Amy mendakwa Noordin dan Kid merompak hasil karya Search susulan penghasilan cakera padat dan barangan cenderahati Rockology Search: Kid'Din Collection Series yang dipasarkan 17 November 2021 apabila tidak mengagihkan royalti kepada dia, Nasir dan keluarga Yazit.

Noordin pula menafikannya dan menyifatkan tindakan Amy itu melampau. Namun, Noordin hanya akan mendedahkan kebenaran itu selepas Konsert Search Gemuruh di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Jun depan.

Noordin sebenarnya sudah menjelaskan perkara itu kepada wartawan pada Disember 2021 lalu. Katanya, dia buat kerja ikut undang-undang dan bukan hentam keromo.

"Orang pertama saya hubungi untuk projek ini ialah Datuk M Nasir kerana lagu itu berada di bawah penerbitan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd.

"Saya kata pada beliau nak ambil lagu di bawah katalog Go Search Sdn Bhd dan dia suruh berjumpa kakitangannya, Jenni (Jennifah Johari) di pejabat untuk urusan lanjut.

"Saya buat seperti yang disuruh. Boxset dibuat ini ikut undang-undang. Mereka yang terbabit tetap dapat hak selayaknya," katanya.

Ada yang berpendapat, konflik Search ketika ini sudah bermula sejak lama dulu. Sesuatu yang sudah lama 'berakar' dan kini sudah menerjah keluar!

Namun, jika diamati, apa yang berlaku ketika ini bermula ketika rakaman album Katharsis pada 2017. Waktu itu sudah timbul konflik di antara Noordin bersama Amy dan Nasir yang tidak berpuas hati dengan tindakan Noordin mengeluarkan cendera hati kemeja-T Search.

Rentetan itu, Noordin didakwa tidak menghabiskan kerja rakaman album itu termasuk tidak memberi komitmen penuh ketika konsert promosi album Katharsis di Shah Alam.

Selepas Amy berundur dari Search pada Mac 2020, Noordin, Kid dan Nasir meneruskan perjuangan Search dan merancang Konsert Apologia dengan mengambil Datuk Awie sebagai penyanyi.

Namun konsert dibatalkan akibat Covid-19. Search kemudian menggunakan khidmat Akim Ahmad untuk persembahan di Melaka. Namun difahamkan Nasir tidak setuju dengan tindakan mereka.

Beberapa isu kemudian membawa Nasir meninggalkan Noordin dan Kid serta kembali bersama Amy. Mereka kemudian 'menghidupkan' Search dengan merekrut Hillary dan Man Keedal.

Dalam masa sama, Noordin dan Kid kekal bersama Search, tetapi dituduh pula bukan band Search yang asli.

Nasir dalam satu temu bual dengan portal berita baru-baru ini mendakwa, Search yang dianggotai Noordin dan Kid hanyalah cover band untuk Search kerana menggunakan penyanyi lain serta pemuzik luar untuk memainkan lagu Search.

Inilah yang saya katakan pelik dan unik tadi! Masalah ini hanya berlaku di Malaysia. Agaknya kalau Ozzy Osbourne (Black Sabbath), James Hetfield (Metallica), Bruce Dickinson (Iron Maiden) atau Angus Young (AC/DC) tahu mengenai konflik ini, tak mustahil mereka boleh gelak besar!

Konflik ini tak akan berkesudahan jika kedua-dua pihak asyik 'bergaduh' di media sosial dan hanya memberi kenyataan kepada wartawan.

Sebenarnya jalan terbaik selesaikan di mahkamah. Kalau 'bertekak' begini tidak akan ke mana.

Ada individu yang mencadangkan mereka berbincang dan duduk semeja, tapi jawapan seorang daripada mereka adalah begini:

"Kau nak suruh duduk semeja, bincang? Bukan saja duduk semeja, aku dengar nama pun tak boleh dah!"

Jadi, faham-fahamlah.

Penulis Pengarang Hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 5:59 AM