ELLY teruja jadi Ikon Hari Peneroka Felda 2024.
ELLY teruja jadi Ikon Hari Peneroka Felda 2024.
Ramlah Zainal


Walaupun bergelar selebriti popular, penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein, 44, tidak pernah melupakan asal usul dirinya yang berasal dari kampung.

Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, dia juga pernah membesar di kawasan Felda dan kehidupan di tanah rancangan tidak asing buat dirinya.

"Saya pun berasal dari kampung dan tidak pernah lupa asal usul. Saya juga tahu macam mana nak bawa diri bila terbabit dengan aktiviti di kawasan Felda.

"Selalunya kalau masuk kawasan kampung, saya hanya pakai selipar dan 'buang' semua kasut tumit tinggi," katanya.

Mengenai kawasan Felda lagi, kata Elly, ramai saudara-maranya juga masih tinggal di Felda Sungai Behrang, Tanjung Malim, Perak.

"Ada ahli keluarga dan saudara-mara yang menetap di Felda dan menjadi peneroka di sana. Saya juga sudah biasa dengan kehidupan di Felda kerana dari kecil hingga besar membesar di sana.

ANTARA anak Felda yang mengambil bahagian dalam program Feel Da Starz.
ANTARA anak Felda yang mengambil bahagian dalam program Feel Da Starz.

"Setiap kali musim cuti sekolah atau sambutan Aidilfitri, di sana seluruh anggota keluarga kami berkumpul," katanya.

Justeru, Elly sangat teruja bila dilantik sebagai Ikon Hari Peneroka Felda 2024, sekali gus berpeluang mendekati penduduk di kawasan tanah rancangan itu.

"Saya dilantik sebagai ikon agensi itu pada April lalu. Sebagai ikon, saya akan menjayakan pelbagai aktiviti turun padang ke beberapa daerah dan kawasan Felda terpilih.

"Antaranya program ziarah kasih untuk melawat peneroka Felda yang sudah berbakti bersama tanah rancangan itu dan berada dalam keadaan kurang sihat sekarang," katanya.

Selain itu, kata pelakon Kampung People ini, dia juga diberi kepercayaan sebagai hos program menggilap bakat anak peneroka dalam bidang nyanyian iaitu Feel Da Starz.

"Menurut Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, pihak Felda juga serius untuk menggilap bakat anak Felda dalam bidang seni.

ELLY bersama Ahmad Shabery dalam satu program bersama Felda.
ELLY bersama Ahmad Shabery dalam satu program bersama Felda.

"Program pencarian bakat dan peringkat saringan sudah bermula di Felda Segamat, Trolak dan seterusnya di Jengka.

"Kami juga akan ke Sabah (Felda Sahabat) dan semua peserta yang terpilih bersaing pada peringkat akhir yang berlangsung pada 12 hingga 14 Julai depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor. Juri program ini adalah guru vokal, Cikgu Siti Hajar,"katanya.

Berkongsi program Feel Da Starz lagi, kata Elly, pada pandangannya, ramai anak Felda mempunyai bakat terpendam dan boleh diketengahkan dalam bidang nyanyian.

"Saya juga berkongsi tip dan pengalaman serta beri semangat kepada peserta sebelum buat persembahan di pentas.

"Ramai peserta juga beritahu mereka tidak sangka dapat bertemu saya di tanah rancangan itu. Pada masa sama juga berharap semua peserta menggunakan ruang dan peluang diberikan itu sebaik mungkin. Difahamkan ada beberapa lagi program berkaitan bidang seni dirancang Felda selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 6:11 AM