NANA berjaya memberi persembahan memukau.
NANA berjaya memberi persembahan memukau.
Najiy Jefri

WALAUPUN kerjaya seninya sebagai penyanyi pernah melalui episod kegagalan dan merudum, namun pemilik nama Siti Nordiana Alias ini tidak pernah berputus asa dalam perjuangannya.

Melihat perjalanan penuh berliku dilalui wanita yang mesra disapa Nana itu sejak tiga dekad lalu, Nana membuktikan kehadirannya terus 'bercahaya' dan disayangi peminat.

Meskipun sering mendapat jolokan penyanyi kampung atau disebut 'leman', tapi Nana tidak pernah mengambil pusing soal itu, sebaliknya berbangga membawakan lagu yang pernah menjadi fenomena satu ketika dulu.

Konsert Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana yang berlabuh di Zepp Kuala Lumpur hujung minggu lalu adalah bukti sokongan peminat yang terus menyayangi bakat suara yang dimiliki.

Bekerjasama dengan kumpulan pemuzik latar The Romeo yang menggabungkan tujuh pemuzik serta dua penyanyi latar, Nana memberikan persembahan vokal yang bertenaga sekalipun sudah berusia 40 tahun.

Dalam konsert selama dua jam itu, lebih 1,000 peminat dari golongan anak muda sehingga dewasa yang sebaya usia dengannya terhibur dan terpukau dengan dendangan 21 lagu hit yang dipersembahkan.

Malah, ada peminat yang mengalirkan air mata apabila Nana menyanyikan lagu yang memberi kenangan, sekali gus mengimbau nostalgia mereka terhadap makna lagu yang disampaikan.

Walaupun terpaksa menunggu selepas 25 tahun dalam industri seni untuk mengadakan konsert solo, Nana tidak pernah menganggap dirinya gagal, malah bersyukur kerana masih diberikan rezeki untuk menghiburkan peminat.

"Sepanjang karier saya banyak memori pahit yang dilalui. Konsert ini akan terus berada dalam lipatan memori berkasih saya.

"Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga cita-cita saya nak buat konsert selepas 25 tahun dalam industri muzik. Konsert solo ini tak lain tak bukan untuk anda.

TUNGGU 25 tahun untuk adakan konsert solo.
TUNGGU 25 tahun untuk adakan konsert solo.

"Kepada peminat, terima kasih. Ada yang datang dari jauh dan terima saya seadanya. Terima kasih terima segala kekurangan saya dan ada masa jatuh bangun saya, insya-Allah saya terus berkarya kerana sokongan anda," katanya.

Walaupun pada permulaan konsert Nana kelihatan gementar untuk menghidupkan konsert itu, namun sokongan peminat yang hadir menghilangkan segala keresahan yang membelenggu fikirannya.

Malah, Nana rancak mengusik peminat dan berterima kasih kepada peminat yang menggelarkan diri mereka Siti Nordiana FC (SNFC).

Maka tidak hairan, konsert itu meninggalkan kenangan terindah buat semua, terutama SNFC yang selama konsert berlangsung ikut menyanyi bersamanya sehingga penghujung persembahan.

Menariknya, peminat seperti berkaraoke dengan Nana bagi setiap lagu yang disampaikan. Sayangnya peminat terhadapnya cukup menyentuh hati apabila mereka menghafal setiap lagu yang disampaikan.

Menyentuh persembahan paling diingati tentulah apabila Nana mendendangkan lagu popularnya bersama Allahyarham Achik Spin iaitu Memori Berkasih dengan rakaman asal lagu itu sendiri.

Bermakna tiada penyanyi undangan dijemput untuk menyampaikan dan menggantikan arwah Achik, sebaliknya suara rakan duet asalnya itu berkumandang lantas mengimbau kenangan ketika dua nama itu memuncak pada 2001.

Dalam segmen penghargaan buat Achik, Nana turut menyampaikan lagu Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih.

Nana turut menyampaikan lagu Tak Upaya Menangis Lagi, Seribu Setia, Pelukanmu, Cinta Hanya Sandaran, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Kasihmu Seakan Berubah, Arah Cinta, Nisan Cinta, Angkata, Terus Mencintaimu dan Hatiku Milikmu.

Tidak ketinggalan, Nana mendendangkan lagu irama Malaysia seperti Benang Emas, Zapin Pak Ngah Balik, Bakawali dan Joget Pilihan Jiwa.

Lebih istimewa sebagai penutup Nana menyampaikan lagu Paling Comel yang cukup menghiburkan dan pastinya membuatkan penonton pulang dengan rasa puas dan bahagia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 6:00 AM