PEMAIN KUFC Salifu (kanan) diasak pemain Kinabalu Jaguar FC Mohd Aidil Safee pada perlawanan Piala FA Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Bernama
PEMAIN KUFC Salifu (kanan) diasak pemain Kinabalu Jaguar FC Mohd Aidil Safee pada perlawanan Piala FA Malaysia 2022 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Kelantan United FC (KUFC), Syamsul Saad akui anak buahnya tertekan sebelum bangkit merakam kemenangan menumpaskan pasukan Liga M3, Kinabalu Jaguar FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Beliau berkata, faktor keserasian selain ia aksi kompetitif pertama musim ini antara punca anak buahnya tidak dapat memperagakan aksi yang diharapkan terutama pada babak pertama.

"Di sebalik kemenangan itu, sebenarnya pemain kami tertekan terutama pada babak pertama apabila setiap gerakan kerap dipatahkan lawan selain perancangan tidak begitu menjadi pada awal permainan.

"Hasil analisis ia disebabkan pemain tidak begitu serasi kerana aksi pertama sekali gus menyebabkan corak permainan mereka nampak kelam-kabut ketika lawan begitu berdisiplin bertahan dan mengatur gerakan.

"Namun sebaik jaringan pertama terhasil menerusi Muhamad Haziq Subri, semangat pemain kian meningkat sehingga berjaya menambah satu lagi gol pada babak pertama manakala bakinya di babak kedua.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati walaupun ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dalam aksi Liga Perdana pada 18 Mac ini di tempat lawan.

"Kita harapkan kemenangan ini mampu meningkatkan lagi semangat pemain untuk memburu kemenangan kedua musim ini walaupun kita tahu JDT II adalah lebih baik berbanding Kinabalu Jaguar FC," katanya.

Pada perlawanan itu, skuad Kijang Hijau yang menurunkan tiga pemain import termasuk bekas pemain tengah kelab Fiorentina dalam Seria A Itali, Amidu Salifu mara ke pusingan kedua saingan piala itu selepas merakam kemenangan 4-0 menerusi jaringan Haziq, Muhamad Asraff Aliffuddin Yasin, Salifu dan pemain kelahiran Nigeria, Njoku Jacob.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 2:06 PM