ANTARA ayam hiasan dipelihara Amir Zoriff.
ANTARA ayam hiasan dipelihara Amir Zoriff.
Nurul Husna Mahmud


KEBANYAKAN 'pemain otai' ayam hiasan yang kali pertama berurusan dengan pemilik ayam hiasan dari Sungai Petani , Kedah, Amir Zoriff Amir Hamzah akan berasa 'kurang percaya' biarpun terdetik rasa kagum.

Mana tidaknya pada usia pemuda itu baru menjengah 18 tahun sudah mengetahui kualiti dan nilai spesies ayam hiasan tertentu.

Amir Zoriff juga mengakui, tidak dinafikan berbanding golongan muda, pemilik atau 'pemain' ayam eksotik biasanya berusia sekitar 30-an dan ke atas.

"Pemain ayam hiasan atau eksotik biasanya lebih berusia dan jarang golongan muda tertarik memelihara ayam hiasan.

"Saya yang suka haiwan sejak kecil tidak kekok atau belajar cara menjaga ayam hiasan daripada pembiak baka atau peminat ayam hiasan yang lebih tua.

"Mereka ini menjadi sumber rujukan termasuk tip penjagaan ayam itu sendiri. Bela ayam kena tahu bakanya dan negara asalnya supaya risiko ayam mati itu rendah," katanya.

Amir Zoriff berkata, dia pelihara ayam pada awalnya sebagai hobi dan terapi untuk mengisi waktu lapang.

"Saya mula bela ayam hiasan iaitu spesies ayam Brahma pada 2021 kerana tertarik dengan saiznya besar dan berbanding ayam jantan tempatan.

AMIR Zoriff tidak kekok atau belajar cara menjaga ayam hiasan.
AMIR Zoriff tidak kekok atau belajar cara menjaga ayam hiasan.

"Kalau ayam jantan matang boleh cecah empat hingga ke lima kilogram (kg) seekor. Betina pula sekitar tiga hingga ke empat kg.

"Rupanya juga sedikit berbeza dengan baka ayam tempatan iaitu pada kaki ada bulu lebat," katanya.

Menurutnya, penjagaan tidak rumit kerana ia makan dedak dan mula membeli dua ekor betina dan seekor jantan.

"Saya mula membeli ayam Brahma pada harga RM200 untuk tiga ekor dari pembiak baka atau pembekal ayam tempatan.

AYAM hiasan perlukan penjagaan rapi.
AYAM hiasan perlukan penjagaan rapi.

"Selepas tujuh bulan pelihara dan ayam mula bertelur, saya teruja serta mula jual hasil iaitu anak ayam Brahma kepada peminat ayam hiasan.

"Makin ayam bertambah makin menjadi pula hobi saya ini apabila beli American silkie iaitu spesies ayam hiasan baka import," katanya.

Kini dia memiliki lebih 30 ayam hiasan termasuk spesies ayam serama tempatan, ayam ratu Thailand dan Bantam Jepun.

"Ayam American silkie rupanya agak lucu dan ada karakter bulu unik iaitu bulunya lebih menyerupai bulu kucing berbanding bulu ayam tipikal.

"Penjagaannya sedikit remeh kerana bulunya tidak boleh lembap dan basah. Atas faktor itu binaan reban ayam baka terbabit perlu di tempat tinggi," katanya.

Jika ingin bulu ayam berada dalam keadaan cantik, kata penuntut Institut Perguruan (IPG) Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah itu, pemilik perlu ambil masa untuk belek dan merias ayam mereka.

AMIR Zoriff mendapat sokongan ibu bapanya.
AMIR Zoriff mendapat sokongan ibu bapanya.

"Ayam American silkie boleh kekal bulu cantik kalau tuannya pandai jaga. Sebenarnya ayam ada mekanisme semula jadi untuk bulu tumbuh cantik.

"Apabila ayam membesar dengan baik dan ketika mencapai matang, bulu lama gugur sendirinya untuk bulu baru dan cantik tumbuh pada badannya," katanya.

Mengenai diet ayam, dia memberi dedak dan adakala dicampur dengan jagung atau padi.

"Setakat ini makanan utamanya dedak dan kos sebulan untuk 30 ekor ialah sekitar RM100 hingga RM200 sebulan.

"Memastikan tiada penyakit dan jangkitan wabak, saya akan beri suplemen untuk kuatkan ketahanan terhadap penyakit," katanya.

Ketika ini ayam dipelihara tiada sebarang serangan wabak serius dan penyakit ayam biasanya wabak atau selesema.

"Ada kala ayam hiasan dipelihara mati kerana penyakit dan selesema. Tetapi, itu membantu proses saya memelihara ayam.

KECANTIKAN ayam hiasan jadi penarik peminat unggas.
KECANTIKAN ayam hiasan jadi penarik peminat unggas.

"Saya sentiasa naik taraf keperluan ayam termasuk membeli mesin penetasan supaya meningkatkan lagi pengeluaran hasil ayam hiasan," katanya.

Dia berhasrat untuk pelbagaikan lagi variasi unggas dalam koleksi peliharaan atau kembangkan profil spesies unggas yang berjaya dibiak di ladang peliharaannya.

"Saya bersyukur hobi saya ini dapat sokongan keluarga terutama ibu bapa, Amir Hamzah Ridzwan, 49, dan Zuriyati Abu Bakar, 49, yang banyak membantu saya menguruskan semua ayam peliharaan.

"Jika saya ada modal dan rezeki lebih, saya berhasrat mewujudkan pusat unggas sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 6:20 AM