PEMAIN Kelantan United, Nik Akif SyahiranNik Mat (kanan) diasak Mohamad Fazrul Amir Md Zaman (dua darfi kanan) di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN Kelantan United, Nik Akif SyahiranNik Mat (kanan) diasak Mohamad Fazrul Amir Md Zaman (dua darfi kanan) di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Perlawanan terakhir Liga Perdana antara Kelantan Football Club (Kelantan FC) dan Kelantan United Football Club (KUFC) tercemar apabila berlaku insiden pergaduhan membabitkan pemain selepas kedua pasukan terikat 1-1, malam tadi.

Insiden dipercayai berlaku apabila berlaku salah faham antara dua pemain kedua-dua pasukan sebelum disertai pemain lain dan pihak pengurusan.

Bagaimana, keadaan berjaya dikawal ketika tiupan wisel penamat dibunyikan.

Terdahulu dalam aksi tetangga Kelantan itu, KUFC yang turun sebagai tuan rumah hampir menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 12 menerusi import, Njoku Jacob namun bola sekadar melalui tepi tiang gol.   

Berselang tiga minit, sepakan bebas Jasmir Mehat turut gagal memberi gol buat Kelantan FC.

Di minit ke 31, rembatan jarak jauh import KUFC, Julius Ofuri Ziggy hampir memberikan gol pembukaan buat tuan rumah namun bola berjaya ditampan penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat. 

Amirul Syafik yang cuba menjaringkan gol turut gagal apabila sepakannya melepasi tiang sekalipun penjaga gol Kelantan FC sudah ditewaskan.   

Gol pembukaan Kelantan FC hadir apabila pengadil memberi sepakan percuma selepas Julius Ofori mengasari pemain Kelantan, Norshamil Abd Ghani minit ke 35.  

Norshamil mudah menewaskan penjaga gol KUFC, Fikri Che Soh untuk memberi kelebihan gol buat pasukan pelawat di babak pertama.

Minit ke 39, Njoku gagal menyamakan kedudukan apabila sepakan percuma berjaya ditampan Solehin Mamat walaupun bola sudah menuju tepat ke gawang gol.  

Keputusan 1-0 kekal hingga masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua, KUFC kembali bangkit apabila Amirul Syafik akhirnya muncul wira menjaringkan gol pertama Kijang Hijau pada minit ke-54.   

Jasmir Mehat dan Fazrul Amir hampir menambah derita tuan rumah namun gagal menambah gol.  

Tambahan masa tujuh minit turut sia-sia apabila kedua pasukan gagal mencari peluang menambah jaringan selain turut bertarung dengan keadaan padang yang becak akibat hujan lebat menyaksikan kedua pasukan sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.  

Keputusan seri menyaksikan Kelantan FC menjadi naib juara liga manakala KUFC di kedudukan kelima musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 9:47 AM