PEMAIN KUFC, Njoku (kanan) diasak Fadi Mahmoud Awad Saleh pada aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN KUFC, Njoku (kanan) diasak Fadi Mahmoud Awad Saleh pada aksi Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Ketua Jurulatih Kelantan United Football Club (KUFC), Syamsul Saad mengakui kecewa dengan keputusan seri 1-1 menentang Polis Diraja Malaysia Football Club (PDRM FC) semalam namun tetap mempertahankan prestasi anak buahnya.

Syamsul berkata, anak buahnya sudah memberikan persembahan 100 peratus namun kekurangan pengalaman terutamanya di bahagian bawah menjadi penyebab mereka berkongsi mata.

Katanya, faktor kecederaan turut menghantui prestasi import sandaran, Jacob Njoku yang dilihat kurang cergas terutamanya dalam babak kedua permainan.

"Kita tiada pilihan lain, kita juga terpaksa turunkan Masashi Motoyama sebab kita sebenarnya sedang menunggu import baru menggantikan Amidu Salifu namun pemain baru itu tidak sempat beraksi hari ini (semalam).

"Paling nyata, kita nampak sangat tertekan dan gugup terutamanya bahagian pertahanan belakang yang dibarisi pemain baru," katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.

Syamsul berkata, penyakit 'gugup' sehingga mudah memberikan gol pada minit akhir sudah menimpa KUFC sebanyak tiga kali dalam perlawanan terdahulu. Tambah beliau, keadaan itu sudah pasti merugikan the green deers yang berhasrat mendapat tempat dalam Liga Super musim depan.

"Saya harap pemain import baru dari Belarus ini akan sampai dua, tiga hari lagi dan sempat bermain pada perlawanan seterusnya pada 27 haribulan ini, di samping kita sempat buat beberapa persediaan lain," katanya.

Beliau berkata, pemainnya memerlukan lebih minit perlawanan selain pasukan memerlukan pemain yang bertindak sebagai play maker dan pertahanan tengah yang lebih mantap bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.

"Saya harap pemain cabar diri masing-masing untuk lebih berani atas padang, peluang kita banyak tapi hantaran bola akhir, hantaran jauh kita 'sangkut' menyebabkan kita dihukum gol lawan di minit-minit akhir, sayang kita kehilangan tiga mata.

"Untuk tahap liga perdana, saya rasa pemain saya dh cukup (bermain) namun perlu perbaiki teknik individu jika kita nak capai sasaran ke Liga Super," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 5:06 PM