ALISSON gembira sambung kontrak bersama Reds. FOTO Liverpool FC
ALISSON gembira sambung kontrak bersama Reds. FOTO Liverpool FC
AFP

London: Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker menandatangani kontrak baharu enam tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu semalam.

Dia muncul antara penjaga gol terbaik dunia sejak tiba di Anfield dari Roma pada 2018 dengan harga £66 juta (RM386 juta).

Alisson menjulang Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala Dunia Kelab bersama skuad Jurgen Klopp selain dinobatkan pemenang Anugerah Yashin UEFA selepas cemerlang membantu kempen Reds pada 2019.

Alisson juga penjaga gol pertama dalam sejarah Liverpool yang menjaringkan gol selepas menanduk jaringan kemenangan ke atas West Bromwich Albion pada Mei lalu.

Bintang Brazil berusia 28 tahun itu akan terus bersama Liverpool sehingga 2027 sekali gus pemain ketiga mengesahkan komitmen masa depan dengan Reds sejak seminggu lalu.

Pertahanan England, Trent Alexander-Arnold dan pemain tengah Brazil, Fabinho turut menandatangani kontrak jangka panjang.

"Saya rasa tak perlukan masa yang lama fikir mengenainya,'' kata Alisson dalam laman web kelab.

"Ia sesuatu yang kami bina sejak tiga tahun lalu, keyakinan dan kepercayaan saya kepada kelab. Begitu juga apa yang ditunjukkan kelab kepada saya.

"Saya dan keluarga sangat gembira di sini. Anak-anak saya tiada masalah di England, negaa berbeza tetapi mereka dapat menyesuaikan diri. Jadi, kami sangat gembira.

"Saya bangga dapat terus berada di sini dan keputusan kekal bersama kelab hebat ini tidak sukar saya lakukan,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 7:24 AM