PENJAGA gol dari Brazil, Alisson Becker memainkan peranan besar bagi kecemerlangan Liverpool sejak beberapa musim lalu. FOTO AFP
PENJAGA gol dari Brazil, Alisson Becker memainkan peranan besar bagi kecemerlangan Liverpool sejak beberapa musim lalu. FOTO AFP
AFP

London: Jurgen Klopp menyelidik punca kekalahan Liverpool di tangan Real Madrid di final Liga Juara-Juara Eropah 2018 sebelum mengubah wajah pasukan dengan mendapatkan penjaga gol Brazil, Alisson Becker.

Tanpa sumbangan besar Alisson kepada Liverpool termasuk gol penting pada musim lalu, anak buah Klopp tidak dapat membuat persediaan untuk misi membalas dendam terhadap juara Sepanyol itu di final di Paris, Sabtu ini.

Kekalahan memilukan Liverpool 1-3 di tangan Real, empat tahun lalu adalah sesuatu yang pahit untuk ditelan Klopp terutama kesilapan mudah dilakukan penjaga gol pilihannya, Loris Karius.

Klopp menandatangani Karius dari Mainz dan menjadikannya sebagai penjaga gol utama di depan Simon Mignolet, tetapi aksi pemain Jerman itu tidak pernah meyakinkan dan kesilapan mudahnya di final Liga Juara-Juara Eropah di Kiev itu, jelas memberi kesan besar.

Beberapa minit selepas rehat ketika kedudukan 0-0, Karius membaling bola ke arah kaki Karim Benzema dan menyaksikan bola bergolek ke dalam gawang kosong.

Liverpool masih mampu melawan apabila ketinggalan 1-2 ketika perlawanan berbaki tujuh minit, tetapi Karius gagal menangkap kemas bola sepakan jarak jauh Gareth Bale, sekali gus memastikan kemenangan Real.

Beberapa minggu selepas itu, Klopp menandatangani Alisson dari Roma untuk rekod dunia penjaga gol ketika itu dengan bayaran £67 juta (RM368.59 juta).

Pada ketika Mohamed Salah dan Virgil van Dijk menjadi bintang berpengaruh pada zaman Klopp, sumbangan Alisson tidak boleh dinafikan begitu saja.

Penjaga gol memang sentiasa dihormati di Liverpool dan mural pemain hebat 1970-an, Ray Clemence memghiasi dinding rumah dekat Anfield.

Alisson, 29, berhak diletakkan dalam kalangan penjaga gol tebraik sepanjang zaman buat Liverpool dan Klopp tidak meragui kualitinya.

"Bagi saya, Alisson Becker adalah penjaga gol terbaik di dunia," kata pengurus Liverpool itu pada awal musim.

"Terdapat beberapa penjaga gol hebat di luar sana, tetapi penjaga gol ini memang tidak masuk akal."

Cap jari penjaga gol Brazil itu sentiasa ada pada detik penting dikecapi Liverpool sejak beberapa tahun lalu.

Beberapa bulan selepas tiba di Merseyside, Alisson menyelamatkan bola dalam situasi luar biasa pada masa tambahan perlawanan dengan Napoli pada Disember 2018, untuk membolehkan Liverpool melepasi peringkat kumpulan dan kemudian muncul juara pada musim itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 10:38 AM