ALISSON sudah bersedia bersama Liverpool. Foto REUTERS
ALISSON sudah bersedia bersama Liverpool. Foto REUTERS
AFP

LIVERPOOL melengkapkan pembelian penjaga gol Brazil, Alisson dari AS Roma dengan rekod 72.5 juta euro (RM343 juta) dari kelab Itali itu.

“Pemain berusia 25 tahun itu menandatangani kontrak panjang dengan Reds selepas menjalani ujian perubatan dan melengkapkan formaliti perpindahan di (pusat latihan) Melwood hari ini,” menurut laman sesawang Liverpool.

Roma mengesahkan nilai perpindahan Alisson yang tampil pada Piala Dunia di Russia.

“AS Roma mengesahkan Alisson Becker melengkapkan perpindahan ke Liverpool dalam perjanjian bernilai 72.5 juta euro,” menurut kelab Serie A itu menerusi akaun Twitter.

Alisson adalah pemain utama ditandatangani Juergen Klopp yang terdesak untuk mendapatkan penjaga gol baru bagi menggantikan Loris Karius berikutan persembahan teruknya pada final Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid.

Chelsea juga dikaitkan dengan Alisson yang memulakan kariernya bersama Internacional di Brazil sebelum berhijrah ke Roma dua tahun lalu.

“Saya amat gembira, impian menjadi kenyataan untuk memakai jersi berprestij kelab sebesar ini yang sentiasa mencipta kemenangan,” kata Alisson kepada liverpoolfc.com.

“Dalam aspek kehidupan dan karier, ia langkah besar buat saya menjadi sebahagian daripada kelab dan keluarga ini. Anda boleh pasti saya akan memberikan yang terbaik.”

Alisson berkata, penyerang Liverpool, Mohamed Salah yang juga bekas pemain Roma menggalakkannya menyertai kelab gergasi Anfield itu.

“Semalam dia menghantar mesej kepada saya: ‘Hei, apa lagi yang anda tunggu?’ Ketika perbincangan sedang berlangsung pada tahap akhir, saya membalas: ‘Tenang, saya dalam perjalanan!’

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 8:10 AM