ALISSON terpaksa dipapah keluar ketika menentang Norwich. - FOTO Agensi
ALISSON terpaksa dipapah keluar ketika menentang Norwich. - FOTO Agensi
AFP

PENJAGA gol Liverpool, Alisson Becker terpaksa berehat beberapa minggu selepas mengalami kecederaan betis ketika menewaskan Norwich 4-1.

Pemain Brazil itu dipapah keluar pada babak pertama dalam aksi pertama Liga Perdana di Anfield, Sabtu lalu.

"Tak berapa bagus. Ia kecederaan betis yang memaksanya berehat seketika,” kata jurulatih, Juergen Klopp dalam laman web kelab.

"Saya tak mahu membuat jangkaan bila dia akan kembali tetapi sudah pasti bukan esok, jadi kami perlu tunggu, yang pasti beberapa minggu.

"Mungkin enam minggu tetapi Ali jarang cedera dalam kariernya jadi saya perlu tunggu kemajuannya selepas ini.”

Alisson, 26, digantikan penjaga gol berpengalaman dari Sepanyol, Adrian ketika menentang Norwich. Bekas penjaga gol West Ham itu yang menyertai Liverpool minggu lalu hampir pasti diturunkan pada aksi Piala Super UEFA menentang Chelsea di Istanbul, awal pagi Khamis ini.

Penjaga gol ketiga Liverpool, Caoimhin Kelleher belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan pergelangan tangan memaksa kelab menandatangani bekas pemain Middlesbrough berusia 35 tahun, Andy Lonergan secara percuma.

Kehilangan Alisson untuk jangka masa lama sudah pasti memberi tamparan hebat kepada kelab yang disertainya selepas berpindah dari Roma tahun lalu.

Bagaimanapun, pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold berkata Adrian mempunyai kualiti sebagai penjaga gol kedua.

"Pengalamannya menjadi aset. Dia sudah beraksi banyak perlawanan, jadi dia tahu tugasnya,” kata Alexander-Arnold.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 9:03 AM