PEMBELIAN Alisson dalam perjanjian bernilai 72.5 juta euro (RM345 juta), satu rekod buat penjaga gol. Foto EPA
PEMBELIAN Alisson dalam perjanjian bernilai 72.5 juta euro (RM345 juta), satu rekod buat penjaga gol. Foto EPA
AFP

PENJAGA gol yang mencatat rekod dunia bersama Liverpool, Alisson boleh mencetus pertukaran penjaga gol di kelab utama seluruh Eropah dengan beberapa pemain dijangka akan melakukannya.

Liverpool membeli pemain kebangsaan Brazil, Alisson dari Roma kelmarin dalam perjanjian bernilai 72.5 juta euro (RM345 juta), satu rekod buat penjaga gol sekali gus mengatasi Chelsea untuk mendapatkan tandatangannya.

Liverpool menjual penjaga gol simpanan Danny Ward ke Leicester City semalam.

Pemain kebangsaan Wales itu menjadi penjaga gol sokongan buat Simon Mignolet dan Loris Karius, yang melakukan dua kesilapan mudah ketika Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid pada final Liga Juara-Juara, Mei lalu.

Pemergian Ward ke Leicester akan memberikan saingan atau sokongan buat penjaga gol Foxes, Kasper Schmeichel atau menyaksikan pemain Denmark itu meninggalkan kelab berkenaan.

Sky Sports News melaporkan Chelsea berminat mendapatkan Schmeichel selepas persembahan cemerlang pada Piala Dunia.

The Blues tampak memerlukan penjaga gol baru. Thibaut Courtois secara terbuka membuka mulut mengenai kedudukannya di Stamford Bridge dan keluarga di Madrid.

“Situasi peribadi saya berkaitan bandar raya Madrid, ia sudah diketahui. Dua anak saya tinggal di sana bersama ibu mereka,” katanya kepada akhbar Belgium, Sport, Februari lalu.

“Benar, hati saya di Madrid. Ia logik dan mudah difahami.”

Ketika Courtois mungkin ke Real Madrid, masa depan penjaga gol nombor satu kelab itu, Keylor Navas mungkin akan terjejas.

Penjaga gol Stoke City yang juga simpanan England, Jack Butland mungkin akan menjadi sasaran utama kelab kaya pada pramusim.

Di Arsenal, Petr Cech, pemegang rekod tanpa bolos sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris, boleh menjadi sasaran selepas kehadiran Bernd Leno di Emirates.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 8:10 AM