ALISSON BECKER
ALISSON BECKER
Agensi

LONDON: Penjaga gol Liverpool Alisson berkata, dia mula merasakan tekanan di atas jangkaan memuncak yang berpunca daripada harganya yang mahal.

Alisson menyertai Liverpool dari Roma pada harga 65 juta pound (RM354.9 juta) yang ketika itu menjadikannya penjaga gol paling mahal di dunia.

Rekod itu diatasi Chelsea yang menandatangani Kepa Arrizabalaga pada harga 71.5 juta pound (RM390.3 juta), namun Alisson merasakan harga pembeliannya masih menjadi bebanan buatnya.

“Saya datang ke sini pada harga yang tinggi dan sesetengah orang mahukan saya tampil sempurna – ia bukan mudah, tetapi saya mencuba,” kata pemain 26 tahun itu yang kini menggalas tugas antarabangsa bersama skuad Brazil.

“Memang mudah untuk mengatakan sekiranya saya berpuas hati dengan persembahan saya, tetapi saya sedang berusaha untuk menjadi sempurna, menjadi lebih baik.

“Saya amat gembira dengan perpindahan saya ke Liga Perdana Inggeris. Saya berusaha keras untuk membantu Liverpool mencapai sasaran mereka dan juga untuk skuad kebangsaan Brazil.”

Alisson membuat permulaan positif dalam karier Liga Perdananya, dibolosi hanya lima gol dalam 12 penampilan yang membantu Liverpool mengekori rapat pendahulu Manchester City yang juga juara bertahan.

Alisson menyertai skuad Brazil bagi perlawanan persahabatan menentang Uruguay dan Cameroon yang akan berlangsung di England. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 10:32 AM