MANZANO diterbangkan ke Brazil untuk mengendalikan perlawanan Copa America 2021. FOTO Agensi
MANZANO diterbangkan ke Brazil untuk mengendalikan perlawanan Copa America 2021. FOTO Agensi
Agensi

Cuiaba: Pasukan pengadil dari Sepanyol dipilih untuk mengadili perlawanan Copa America yang menjadi sebahagian daripada perjanjian antara Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan badan induk bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL.

Menurut CONMEBOL ia adalah kali pertama krew pengadilan dari Eropah mengadili perlawanan Copa America.

Perkara sama dilakukan oleh pasukan pengadil dari Argentina di Euro yang akan mengadili perlawanan antara Ukraine dan Macedonia Utara esok.

Pengadil Sepanyol, Jesus Gil Manzano akan mengendalikan perlawanan antara Chile dan Bolivia Jumaat ini.

Tiga lagi pengadil dari Sepanyol akan membantu Manzano dalam perlawanan yang berlangsung di Arena Pantanal di Cuiaba.

Fernando Rapallini dan pembantunya dari Argentina akan bekerjasama dalam perlawanan Euro 2020 di Bucharest, Romania.

"Ia adalah usaha untuk mengoptimumkan pengadil di antara kedua-dua konfederasi," kata CONMEBOL dalam satu kenyataan.

Chile seri 1-1 dengan Argentina pada aksi pertama mereka di Copa America, manakala Bolivia tumpas 1-3 kepada Paraguay untuk aksi Kumpulan A semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 9:10 AM