PEMAIN Brazil memanaskan badan di  Teresopolis. FOTO AFP
PEMAIN Brazil memanaskan badan di Teresopolis. FOTO AFP
Agensi

Sao Paulo, Brazil: Sekurang-kurangnya 140 kes positif dikesan dalam kalangan pemain, delegasi dan pekerja perkhidmatan sejak Copa America bermula 13 Jun, menurut Menteri Kesihatan Brazil.

Negara itu yang masih berdepan ancaman Covid-19 yang serius dipilih menjadi tuan rumah kejohanan selepas Copa América dipindahkan daripada dua negara penganjur asal Argentina dan Colombia.

Separuh daripada pasukan bertanding di Copa América dijangkiti Covid-19 setakat ini.

Venezuela pasukan paling terjejas selepas lapan pemainnya dijangkiti manakala pegawai dan petugas pasukan Colombia, Bolivia dan Peru turut didapati positif.

Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (Conmebol) tidak mendedahkan jumlah kes bagi setiap pasukan.

Bintang Argentina, Lionel Messi sebelum ini melahirkan kebimbangannya mengenai virus itu ketika bersama skuad kebangsaan.

"Ia amat membimbangkan kami kerana sesiapa sahaja boleh terdedah dengan Covid-19,'' katanya kepada wartawan. "Kami cuba berhati-hati namun ia tidak mudah. Jangkitan ini boleh berlaku."

"Kami berusaha mematuhi panduan diberikan bagi memastikan semua orang selamat tetapi ia tidak hanya bergantung kepada diri kita sahaja.''

Sehingga semalam 42 pemain dan delegasi pasukan dijangkiti Covid dan 97 kes membabitkan pekerja perkhidmatan dan seorang petugas Conmebol.

Ia peningkatan ketara berbanding laporan terakhir sebelum ini. Minggu lalu menteri kesihatan melaporkan 37 kes positif membabitkan pemain dan delegasi pasukan serta 45 pekerja perkhidmatan.

Jangkitan berlaku di semua empat bandar tuan rumah: Rio de Janeiro, Brasilia, Cuiaba dan Goiania.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 11:08 AM