CUELLAR (kanan) diasak pemain Paraguay,  Robert Piris da Motta. FOTO AFP
CUELLAR (kanan) diasak pemain Paraguay, Robert Piris da Motta. FOTO AFP
Agensi

Goiania, Brazil: Paraguay bangkit meledak tiga gol pada babak kedua ketika menewaskan Bolivia 3-1 dalam aksi pertama Copa America pagi tadi.

Bolivia beraksi tanpa lima pemain utama yang dijangkiti Covid-19 termasuk penyerang Marcelo Martins yang menjaringkan tujuh gol dalam tujuh perlawanan terakhir pasukannya.

Mereka tidak pernah menewaskan Paraguay di Copa America sejak 1963 dan badi itu tampak bakal berakhir selepas 10 minit permainan bermula apabila mendapat sepakan penalti.

Video pengadil bantuan (VAR) mengesahkan bola terkena tangan dan Erwin Saavedra merembat ke penjuru kiri gawang Paraguay.

Paraguay turut mendapat penalti pada babak pertama tetapi dibatalkan selepas VAR mendapati pemainnya terlebih dahulu ofsaid.

Bolivia terpaksa beraksi sepuluh pemain sejurus sebelum rehat apabila penyerang muda berusia 19 tahun, Jaume Cuellar dibuang padang selepas mendapat kad kuning kedua.

Paraguay terus meningkatkan serangan bermula babak kedua dan pada minit ke-62, Alejandro Romero merobek gawang Bolivia menerusi voli dari luar kotak penalti yang gagal dijangkau penjaga gol Ruben Cordano.

Paraguay mengesahkan kemenangan menerusi dua jaringan Angel Romero hasil tolakan jarak dekat pada minit ke-65 dan rembatan dari sebelah kiri kotak penalti ketika permainan berbaki 10 minit.

Kemenangan itu membolehkan Paraguay mendahului Kumpulan A mengatasi Argentina dan Chile yang seri 1-1 dalam perlawanan sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 11:35 AM