BRERETON (kanan) meraikan jaringanya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
BRERETON (kanan) meraikan jaringanya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Cuiaba: Pemain berdarah Inggeris, Ben Brereton muncul wira Chile apabila menjaringkan gol tunggal ketika menewaskan Bolovia 1-0 pada saingan Copa America, hari ini.

Penyerang Blackburn berusia 22 tahun itu dilahirkan di Stoke-on-Trent dengan bapanya berdarah Inggeris manakala ibunya berasal dari Chile dan dia hanya melakukan penampilan pertama bersama pasukan kebangsaan Isnin lalu apabila masuk sebagai pemain gantian ketika Chile seri 1-1 dengan Argentina.

Brereton yang beraksi sepanjang kariernya di Liga Kejuaraan, berada di kedudukan dan masa yang betul untuk meledak gol sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada Chile.

Chile mendominasi babak pertama dan berpeluang untuk menambah jaringan pada separuh masa kedua.

Penjaga gol Bolivia, Carlos Lampe nyata sibuk menafikan beberapa cubaan lawan terutamanya menerusi Jean Meneses, Erick Pulgar dan Brereton.

Jaringan tunggal itu berpunca selepas Bolivia menerima serangan balas minit ke-10 apabila Eduardo Vargas melakukan hantaran cantik kepada Brereton yang tenang melakukan penyudah.

Tidak lama selepas itu, cubaan Meneses hanya tersasar sedikit di atas palang gol manakala tandukan kapten, Arturo Vidal berjaya dinafikan oleh Lampe.

Bolivia kerap diancam pada separuh masa pertama namun masih berpeluang mencipta peluang menerusi Roberto Fernandez, Erwin Saavedra dan Ramiro Vaca.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 7:49 AM