AKSI Messi ketika sesi latihan Argentina. FOTO AFP
AKSI Messi ketika sesi latihan Argentina. FOTO AFP
Agensi

Cuiabá, Brazil: Pemburu rekod Lionel Messi tidak mahu berehat di Copa America walaupun Argentina sudah mengesahkan tempat di suku akhir.

Kapten La Albiceleste itu antara beberapa pemain utama yang bakal diturunkan jurulatih Lionel Scaloni ketika menentang Bolivia dalam aksi terakhir Kumpulan A.

Pemain berusia 34 tahun itu kini terikat dengan Javier Mascherano menerusi 147 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Messi bakal memintas rekod itu dalam aksi di Arena Pantanal pagi esok apabila dia bergandingan dengan bintang veteran, Sergio Agüero dan Ángel Di María di bahagian depan.

Messi yang beraksi setiap minit perlawanan di kejohanan itu memburu trofi Copa America pertamanya bersama Argentina.

Scaloni hanya mengekalkan empat pemain termasuk Messi daripada kesebelasan yang menewaskan Paraguay 1-0.

"Saya fikir apa sahaja mengenai Messi sudah diperkatakan," kata Scaloni. "Kami bangga memilikinya dan kami yakin dia akan memberikan kami lebih kegembiraan."

Emiliano Martínez yang beraksi setiap perlawanan di kejohanan itu akan direhatkan menentang Bolivia. Penjaga gol itu akan digantung jika mendapat satu lagi kad kuning dengan Franco Armani bakal mengambil tempatnya.

Beberapa pemain Argentina lain yang berisiko penggantungan dijangka turut memanaskan bangku simpanan termasuk Lautaro Martínez, Giovani Lo Celso, Leandro Paredes, Lucas Martínez Quarta dan Joaquín Correa.

Argentina mengetuai kumpulan dengan tujuh mata, diikuti Paraguay (6), Chile (5) dan Uruguay (4). Bolivia terakhir tanpa sebarang mata dan tersingkir daripada kejohanan.

Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan mara ke peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 9:41 AM