RASHFORD teruja dapat berbual bersama Obama. FOTO AFP
RASHFORD teruja dapat berbual bersama Obama. FOTO AFP
AFP

London: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sempat berbicara dengan penyerang Manchester United, Marcus Rashford termasuk memuji usaha-usaha yang dilakukan pemain itu berkaitan dengan isu sosial.

Bintang England itu bertemu Obama secara virtual melalui perbincangan atas talian dianjurkan oleh Penguin Books dan membincangkan topik seperti impak positif aktiviti membaca.

Rashford, 23, tahun lalu membabitkan diri dalam kempen kanak-kanak kebuluran di Britain ketika pandemik Covid-19 dan melancarkan kelab buku untuk menggalakkan kanak-kanak kurang berkemampuan membabitkan diri dalam aktivti membaca buku.

"Ramai orang muda yang saya jumpa termasuk Marcus mereka sudah lebih matang pada usia berbeza dengan saya ketika di usia 23 tahun. Mereka sudah pun melakukan perubahan dan mempunyai kekuatan positif dalam komuniti mereka," kata Obama.

"Seakan tidak percaya. Saya duduk di dapur rumah saya di Manchester dan bersembang dengan Obama. Bagaimanapun, beliau membuatkan saya berasa tenang.

"Selepas itu saya sedar bahawa pengalaman kami ketika kanak-kanak membuatkan kami menjadi seorang individu yang anda dapat lihat hari ini. Kami berdepan rintangan, kesukaran dan semuanya.

"Saya memang menikmati setiap minit ketika bersembang dengan Obama. Anda akan hanya perlu mendengar apa yang diperkatakan," kata Rashford.

Rashford berkata, dia juga menerima kecaman berbaur perkauman di media sosial selepas United tumpas dalam perlawanan akhir Liga Europa semalam.

Penyerang berkenaan, yang menjadi mangsa serangan di alam maya berkata, dia menerima sekurang-kurangnya 70 penghinaan berbentuk perkauman selepas United kalah kepada Villarreal menerusi penentuan penalti di Gdansk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 10:29 AM