RASHFORD mahu gegar gawang  Basaksehir dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
RASHFORD mahu gegar gawang Basaksehir dalam saingan Liga Juara-Juara. FOTO AFP
Agensi

London: Marcus Rashford kecewa dengan prestasi buruk Manchester United sejak kebelakangan ini tetapi yakin skuadnya akan kembali bangkit meraih kemenangan.

United tewas 0-1 kepada Arsenal kelmarin dengan hanya meraih tujuh mata daripada enam aksi pertama Liga Perdana untuk menduduki tangga ke-15.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer hanya menang satu daripada lima aksi di tempat sendiri musim ini termasuk dibelasah 1-6 oleh Tottenham di Old Trafford.

Walaupun United cemerlang dengan dua kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara, Rashford mengakui prestasi tidak konsisten kelab zaman kanak-kanaknya itu pada peringkat domestik jelas mengecewakannya.

"Menjadi impian sejak zaman kanak-kanak dan saya sukakan kelab ini,'' kata Rashford dalam laman web United.

"Mungkin perancangan tidak seperti diharapkan, saya sedih dan kecewa. Saya rasa ia masa untuk kami kembali ke asas dan mencari jalan untuk menang semula."

Rashford menambah: "Memang sukar. Kami berdepan banyak perlawanan besar yang kami perlu mendapatkan mata. Ia mungkin turun dan naik tetapi kadang-kadang begitu.

"Kami perlu bersatu semula dan mencari semula keyakinan. Kami selalu bangkit daripada kekecewaan dan saat ketika ini salah satu daripadanya. Kami perlu kembali sebagai satu pasukan, kembali ke asas dan menang perlawanan.''

Rashford meledak hatrik ketika United menewaskan RB Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara dan mengatasi cabaran Paris Saint-Germain di Paris. Bintang United itu pasti mahu mengulangi momentumnya ketika menentang Istanbul Basaksehir di Stadium Fatih Terim pada awal pagi Khamis.

United tewas dua aksi terakhir di tempat lawan kepada wakil Turki dalam saingan Eropah. Tewas 0-1 kepada Galatasaray pada 2012 dan 1-2 kepada Fenerbahce pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 9:03 AM