RASHFORD hadir ke sesi latihan United di Carrington dengan menaiki Mercedes-Benz G-Wagon. FOTO Agensi
RASHFORD hadir ke sesi latihan United di Carrington dengan menaiki Mercedes-Benz G-Wagon. FOTO Agensi
Agensi

KERAJAAN UK mengesahkan akan melanjutkan baucar skim nasional khusus untuk kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah susulan kempen dilancarkan penyerang Manchester United, Marcus Rashford.

Pada Ahad lalu, Rashford menulis surat terbuka kepada ahli politik menggesa mereka menarik balik keputusan menamatkan program yang memberi makanan percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin ketika sekolah ditutup ekoran wabak koronavirus.

Jurucakap Jabatan Pelajaran semalam berkata, bantuan terbabit akan tamat mengikut perancangan pada akhir kalendar persekolahan tetapi menurut Rashford, dia akan tetap meneruskan kempen itu.

Kesungguhan penyerang Manchester United menjayakan kempen membuahkan hasil apabila kerajaan menarik balik keputusan mereka dan melanjutkan program terbabit dengan menyediakan dana £120 juta (RM645 juta).

"Saya tak tahu apa nak diperkatakan lagi. Tengok apa yang boleh kita lakukan apabila kita bersatu. Ini adalah England pada 2020," kata Rashford dalam laman twitternya.

Rashford, 22, sehingga kini membantu mendapatkan dana lebih £20 juta (RM107 juta) untuk badan kebajikan FareShare ketika wabak koronavirus.

Pemimpin parti pembangkang di UK, Keir Starmer mengucapkan tahniah kepada Rashford di atas usaha gigihnya.

"Ini satu lagi keputusan pusingan U daripada Boris Johnson," katanya. "Sejumlah 1.3 juta kanak-kanak bakal kelaparan pada musim panas ini yang tidak dapat dibayangkan. Tahniah kepada Marcus Rashford dan yang lain selepas gigih menyuarakan isu ini."

Malah ramai penyokong Red Devils kini mahukan Rashford yang berusia 22 tahun itu menjadi Perdana Menteri menggantikan Johnson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 11:53 PM