RASHFORD terus menjadi mangsa kepada perkauman. FOTO AFP
RASHFORD terus menjadi mangsa kepada perkauman. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang Manchester United, Marcus Rashford akan diketepikan sehingga tiga bulan selepas memutuskan untuk menjalani pembedahan bahu yang dialami selepas Euro 2020.

Rashford, 23, menjalani pemeriksaan awal mengenai masalah yang mengganggu penyerang England itu sejak akhir musim bersama kelab.

Dia bagaimanapun hanya akan menjalani pembedahan itu pada hujung Julai kerana ketiadaan pakar bedah.

Rashford beraksi lima kali untuk England di Euro 2020 dan gagal menyempurnakan penalti ketika mereka tewas kepada Itali di final.

Pada awal pagi semalam penunjuk perasaan anti-perkauman berkumpulan di hadapan mural Rashford di Manchester yang dirosakkan selepas pemain itu dihina di media sosial.

Sepanjang hari, beratus-ratus orang berkumpul di hadapan dinding mural yang dirosakkan untuk memberi sokongan kepada Rashford yang dihina dan rakan senegara yang juga berkulit hitam, Jadon Sancho dan Bukayo Saka turut menjadi mangsa penghinaan perkauman selepas tewas kepada Azzurri.

Sebelum ini Rashford dianggap wira negara itu susulan kejayaannya melobi Perdana Menteri Britain Boris Johnson untuk memberikan makanan percuma kepada kanak-kanak sekolah yang susah ketika pandemik.

United memulakan persiapan pra-musim di Derby Ahad ini sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris di Old Trafford menentang Leeds pada 14 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 7:59 AM