HARTANAH pertama jenis teres selesa didiami.
HARTANAH pertama jenis teres selesa didiami.
Nurul Husna Mahmud


MENGENAI hak milik strata, ramai beranggapan status itu hanya tertakluk kepada pemilik kediaman bertingkat sedangkan rumah bertanah atau teres tidak terkecuali memiliki status terbabit.

Rumah dalam skim berpagar dan berpengawal selalunya dikategorikan dalam hak milik strata yang mana ditadbir Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Kewujudan rumah teres dengan status strata bukan lagi asing apabila pemaju menampilkan projek kediaman dengan konsep tertentu bersama infrastruktur bagi kemudahan komuniti di perumahan baharu.

Keadaan itu secara tidak langsung memberi komitmen tambahan kepada pemilik rumah pertama selain perlu melunaskan pembiayaan rumah setiap bulan.

Hal itu sedia maklum oleh pembeli rumah pertama, Izzah Fazlinda Safee, 32, dengan pasangannya, Mohamad Taufiq Mohd Asri yang membeli rumah teres dua tingkat di Rentak Perdana, Puncak Alam, Selangor.

Dia yang mesra dengan disapa Izzah mengakui tertarik untuk memiliki rumah di situ atas faktor infrastruktur dan fasiliti yang lengkap disediakan pemaju.

"Tidak dinafikan fasiliti disediakan pemaju seperti rumah berpagar lengkap dengan pengawal keselamatan memberi kelebihan untuk saya dan suami membeli rumah ini.

KELEBIHAN yang datang bersama komitmen antara ciri rumah teres berstrata.
KELEBIHAN yang datang bersama komitmen antara ciri rumah teres berstrata.

"Tidak hanya aspek keselamatan, perumahan baharu ini juga dilengkapi kemudahan lain seperti taman permainan, surau dan dewan komuniti. Ini memberi nilai tambah dan satu tarikan kepada hartanah yang dibeli.

"Saya tidak hanya membeli rumah, tetapi persekitaran dan komuniti antara perkara dipertimbangkan dalam pembelian rumah pertama untuk didiami," katanya.

Menurut Izzah, semua fasiliti itu secara tidak langsung memberi gambaran komitmen bulanan perlu digalas pembeli rumah di kawasan sama bagi menjelaskan yuran penyelenggaraan.

"Status rumah yang saya beli sejak 2018 adalah jenis teres berstatus strata. Apabila saya dan suami membeli rumah ini, kami tahu ada komitmen tambahan setiap bulan selain pembiayaan rumah.

FASILITI seperti taman permainan yang disediakan pemaju untuk keselesaan pembeli.
FASILITI seperti taman permainan yang disediakan pemaju untuk keselesaan pembeli.

"Kebetulan saya dari latar belakang bidang hartanah, jadi sedia maklum dengan yuran penyelenggaraan atau terma strata pada hartanah dibeli.

"Mungkin bagi pembeli rumah pertama lain, hal ini kurang diberi perhatian menyebabkan mereka berasa ia terbeban," katanya.

Sementara itu, bagi proses pembelian hartanah itu, Izzah berkata, ia bukan satu keputusan sukar terutama apabila memikirkan ia rumah untuk tinggal bersama keluarga.

"Saya dan suami membuat keputusan membeli rumah ini dalam tempoh yang sangat pantas kerana hanya seminggu dari proses melawat galeri sehingga menandatangani perjanjian jual beli selesai.

RUMAH pertama teres status strata menjadi pilihan Izzah.
RUMAH pertama teres status strata menjadi pilihan Izzah.

"Kami memilih rumah ini kerana memikirkan harga masih dalam bajet selain rumah ini jenis teres memiliki prospek yang baik sama ada untuk tinggal atau pelaburan," katanya.

Tambahnya lagi, lokasi hartanah itu juga terletak tidak jauh dari tempat bekerja dan rumah keluarga antara perkara lain mendorong dia dan suami membeli rumah terbabit.

"Sebenarnya sebelum membeli rumah, kami sudah membuat tinjauan di portal atau platform hartanah untuk melihat projek yang ada ketika itu.

"Kami tertarik dengan projek Rentak Perdana kerana kedudukannya iaitu dekat dengan tempat kerja dan tidak jauh dari rumah keluarga di Klang, Selangor.

SURAU antara kemudahan disediakan pemaju.
SURAU antara kemudahan disediakan pemaju.

"Tambah pula ia projek baharu, ada tawaran termasuk deposit rendah dan yuran guaman percuma. Kami dapat menjimatkan menyimpan untuk keperluan lain seperti perabot atau kos ubah suai rumah.

"Reputasi pemaju Rentak Perdana iaitu LBS Bina Group Berhad (LBS) juga yang mempunyai trek baik dalam setiap projek perumahan yang dibina membuatkan saya yakin," katanya.

Dia turut menasihati pembeli rumah pertama juga perlu dapatkan ilmu berkait hartanah dan mendapat nasihat daripada yang pakar memastikan urusan pembelian hartanah pertama lancar.

"Penting untuk pembeli rumah pertama ada simpanan kerana persiapan untuk masuk ke rumah baharu ini sekurang-kurangnya kena ada RM10,000 hingga RM20,000 bagi pembelian barangan elektrik, perabot dan sebagainya.

"Kena merancang atau mula menabung seawal bekerja untuk memastikan proses memiliki rumah idaman boleh dikecapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 6:30 AM