Reputasi pemaju dan latar belakang projek milik kerajaan negeri antara elemen dipertimbangkan pembeli rumah pertama, Noradila Mohd Alias, 29.
Bagi Noradila, tiada perkara lebih membimbangkan selain rumah yang sudah dibiayai bank tidak disiapkan atau terbengkalai angkara pemaju.
"Satu faktor penting bagi pembeli rumah pertama adalah menyemak latar belakang projek termasuk siapa pemaju dan kontraktornya.
"Sasaran utama saya untuk rumah pertama adalah projek Rumah Idaman MBI kerana ia di bawah projek kerajaan.
"Penilaian saya Rumah Idaman MBI bukan antara rumah yang berisiko untuk terbengkalai. Selain itu, harga ditawarkan rendah jika dibandingkan dengan harga rumah berkeluasan kecil dan mempunyai kemudahan yang sama dalam pasaran hartanah," katanya.
Akuinya, sektor arkitek, kejuruteraan dan pembinaan sedia maklum risiko yang dihadapi pembeli rumah.
"Pembeli rumah pertama perlu menyemak projek dan reputasi kontraktor atau pemaju dalam unit hartanah yang ingin dibeli.
"Selepas meneliti beberapa perkara termasuk aliran perjalanan seharian, saya mengambil keputusan membeli rumah di projek Rumah Idaman BSP.
"Idaman BSP dengan keluasan 94.95 meter persegi dengan harga bawah RM300,000 pada saya sangat berbaloi.
"Tambahan pula projek ini dilengkapi perabot seperti televisyen dan kabinet televisyen, pemanas air, kabinet dapur, almari dan peti ais yang sangat memudahkan.
"Antara kemudahan lain diberikan dalam projek itu adalah dua lot parkir kereta," katanya.
Meskipun projek itu terletak di lokasi pinggir bandar, akses keluar dan masuk penghuni dijangka lebih mudah berdasarkan kedudukannya terletak berhadapan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).
"Kedudukan unit kediaman ini juga terletak tidak jauh dari beberapa bandar antaranya Puchong, Sepang, Putrajaya dan Cyberjaya membuatkan ia pilihan strategik terutama mereka yang banyak melakukan perjalanan ke selatan tanah air," katanya.
Mengenai kebimbangan atau keresahannya dalam pembelian hartanah itu, kata Noradila, beberapa perkara termasuk pemilihan jenis premium dan nilai Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat sebagai cabaran dalam komitmen memiliki hartanah.
"Proses membeli rumah bagi saya rumit sebab ada ketika saya sukar memahami terma tertentu antaranya pemilihan premium untuk diguna pakai dalam melindungi hartanah.
"Saya keliru hendak memilih sama ada menggunakan Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) atau Mortgage Level Term Takaful (MLTT) kerana mekanisme kedua-duanya berbeza.
"Suatu lagi yang saya bimbang adalah kadar OPR yang sangat agresif perubahannya bagi tahun ini. Pembeli baharu tentunya resah kerana kadar itu memberi kesan kepada kadar bayaran ansuran bulanan hartanah kepada bank," katanya.